NATIONAL
Mesin dandang stim meletup empat pekerja kilang melecur
Pihak bomba tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi. - Foto JBPM Selangor
SHAH ALAM: Empat pekerja melecur apabila mesin dandang stim kilang kelapa sawit di Bestari Jaya di Kuala Selangor meletup pagi tadi.
Ringkasan AI
- Empat pekerja cedera akibat letupan mesin dandang stim di kilang kelapa sawit Bestari Jaya, Kuala Selangor, semasa kerja pemanasan air dilakukan.
- Kebakaran berjaya dipadam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi.
- Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, dengan seorang menerima rawatan di zon merah, menunjukkan kecederaan serius.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.55 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya.
"Susulan insiden berkenaan, empat mangsa lelaki iaitu masing-masing seorang warga tempatan dan Bangladesh serta dua warga Nepal berusia antara 27 hingga 38 tahun cedera.
"Kebakaran berikutan letupan itu juga berjaya dipadam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pekerja kilang berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pemanasan air di mesin berkenaan bagi tujuan operasi kilang sebelum ia meletup.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang menaiki kenderaan sendiri untuk rawatan lanjut dan seorang daripada mereka dirawat di zon merah.
-- BERNAMA
#mesin dandang stim meletup
#pekerja melecur
#Bestari Jaya
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#terkini