BATU PAHAT: Projek Pembuatan Mesin Mi Siput di Kampung Sungai Nibong, Semerah, di sini, merupakan projek kerjasama awam-swasta terbaru di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasa dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) menambah pendapatan.

"Projek tersebut juga berjaya meningkatkan kecekapan penghasilan produk yakni hampir tiada bahan mentah yang terbuang berbanding mesin yang digunakan sebelum ini yang menghasilkan bahan terbuang sebanyak 10kg," kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan jaringan awam-swasta melalui kerjasama stategik industri dalam meningkatkan produktiviti menerusi inovasi atau teknologi bersesuaian.

Katanya, bagi tujuan berkenaan, institusi pengajian tinggi (IPT) akan berperanan sebagai penyedia penyelesaian kepada industri melalui inisiatif Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).



"Penyertaan ahli akademik untuk melaksanakan penyelidikan berasaskan permintaan dan memperkasakan hubungan jaringan awam-swasta melalui penyelidikan inovasi daripada IPT adalah sangat digalakkan dan (KPT) menyeru agar pihak IPT berkolaborasi dengan pihak industri secara aktif," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Datuk Ahmad Fauzi Ismail berkata, usaha sama itu memberi peluang kepada masyarakat setempat memajukan perniagaan dengan kaedah yang lebih moden dan teratur dengan bantuan tenaga penyelidik universiti itu.

"Saya juga menyeru syarikat swasta lain untuk bekerjasama dengan UTM untuk menambah baik mesin atau proses yang digunakan di syarikat mereka menggunakan kepakaran tempatan," katanya.

-- BERNAMA