Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Mesir jemput Malaysia anjur bersama sidang antarabangsa pemulihan Gaza - PM

Hafiz Marzukhi 23/11/2025 | 02:30 MYT
Anwar (tengah) bercakap pada sidang media penutup lawatan kerjanya di Afrika Selatan yang berakhir hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg. --fotoBERNAMA
JOHANNESBURG: Mesir telah menjemput Malaysia untuk menjadi penganjur bersama satu sidang antarabangsa mengenai pemulihan awal dan usaha pembinaan semula Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan pertemuannya bersama Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly, pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di sini hari ini.

Menurut Anwar, pelawaan itu disampaikan Mostafa daripada Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi yang menggalakkan Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam penganjuran sidang tersebut.

Anwar berkata beliau menghargai jemputan itu namun menjelaskan bahawa Malaysia perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu.

“Saya sudah meminta Wisma Putra meneliti butiran daripada pihak Mesir sebelum kita membuat keputusan,” katanya pada sidang media penutup lawatan kerjanya di Afrika Selatan yang berakhir hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Menurut Anwar, pendekatan Mesir ini mencerminkan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin serta keprihatinannya terhadap krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.

Hari ini, Anwar akan memulakan lawatan rasmi ke Nairobi, Kenya yang dijadualkan akan berakhir pada Isnin.





#Anwar Ibrahim #Gaza #sidang antarabangsa pemulihan Gaza #Mesir