MALAYSIA

Mesyuarat GBC Thailand-Kemboja bermula hari ini

Faida Rahim 04/08/2025 | 03:00 MYT
Beberapa buah bas membawa delegasi pegawai tertinggi anggota tentera pengiring tiba di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur sekitar jam 8.30 pagi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) akan berlangsung di Kuala Lumpur selama empat hari, bermula hari ini.

Antara lain, mesyuarat yang berlangsung sehingga 7 Ogos itu melibatkan menteri pertahanan dan pegawai keselamatan tertinggi dari Kemboja dan Thailand.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, beberapa buah bas membawa delegasi pegawai tertinggi anggota tentera pengiring tiba di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur sekitar jam 8.30 pagi.

Mesyuarat itu diadakan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu.

Angkatan tentera Malaysia (ATM) akan menjadi pemudah cara mesyuarat itu menjadikannya rundingan pertama secara bersemuka antara Thailand-Kemboja sejak konflik terbaharu meletus.

Kedua-dua negara terjebak dalam kancah konflik sempadan sejak sekian lama disebabkan beberapa isu termasuk kuil purba Preah Viehar.

Ketegangan di kawasan sempadan bermula dengan pertempuran kecil 28 Mei lepas sebelum mencetuskan konflik bersenjata sepenuhnya pada 24 Julai.

28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi ASEAN.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Mesyuarat GBC pada Selasa ini turut disertai atase pertahanan dari negara anggota ASEAN, selain wakil Amerika Syarikat dan China yang hadir sebagai pemerhati.

Dalam masa yang sama, beberapa perkara berkaitan usaha perdamaian turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk rundingan genjatan senjata antara Thailand dengan Kemboja serta cadangan pembentukan pasukan pemantau yang bakal disokong negara anggota ASEAN lain.

Katanya, pasukan pemantau itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan genjatan senjata yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

“Panglima Angkatan Tentera menyifatkan perkembangan ini sebagai satu bentuk genjatan senjata paling singkat yang berjaya dicapai dalam tempoh hanya tiga hari berbanding situasi serupa yang pernah berlaku di negara lain,” katanya.





#Anwar Ibrahim #Angkatan Tentera Malaysia #ASEAN #Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan GBC