Mesyuarat Kabinet akan bincang isu harga siling ayam - Alexander

Fadilah Sulaiman
Mei 28, 2022 15:19 MYT
Alexander pada Sabtu mempengerusikan sesi libat urus bersama Persatuan Penternak Sarawak - Gambar/ ANL
KUCHING: Keputusan sama ada harga siling ayam di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) diteruskan atau sebaliknya selepas 5 Jun, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Isnin ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada agenda Dasar Sekuriti Makanan Negara.
"Semua input yang dibentangkan adalah hasil sesi libat urus bersama pengusaha industri.
“Persatuan mengemukakan cadangan, mewakili pihak industri untuk diketengahkan dalam mesyuarat di peringkat kerajaan.
"Ini kelak akan memastikan sebarang keputusan selepas 5 Jun bersifat ‘menang-menang’,” katanya melalui hantaran di media sosial.
Petang tadi, Alexander mempengerusikan sesi libat urus bersama Persatuan Penternak Sarawak di sini.
Dalam hantaran yang sama, Alexander turut memaklumkan bahawa status bekalan ayam serta telur di Sarawak secara amnya adalah mencukupi.
"Berlaku kekurangan bekalan khususnya telur di lokaliti tertentu, berpunca perayaan bersilih ganti.
"Namun situasi tersebut dijangka pulih sekitar minggu kedua Jun iaitu selepas perayaan Hari Gawai,” katanya.
Jelasnya, Sarawak mengeluarkan 4.5 juta ekor ayam sebulan, lebih 500,000 ekor daripada permintaan pasaran.
“Manakala setiap bulan, negeri ini menghasilkan 2.5 juta biji telur berbanding 2.2 juta permintaan di seluruh negeri,” tambah beliau.
Sesi libat urus tersebut berlangsung selama dua jam turut disertai oleh enam syarikat penternakan ayam pedaging dan ayam penelur, diketuai Pengerusi Persatuan Penternak Sarawak, Tsai Kian Shin.
Terdahulu, persatuan tersebut telah mengemukakan beberapa cadangan termasuk untuk memansuhkan harga siling SHMKM selepas dijadualkan tamat pada 5 Jun depan, atau meningkatkan subsidi kepada penternak bagi memastikan simpanan stok ayam dan telur di negeri ini tidak terjejas.
#bekalan ayam #kekurangan bekalan #Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia #Datuk Seri Alexander Nanta Linggi