Mesyuarat Khas Parlimen: 4 lagi kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen - Speaker

Firdaus Azil
Julai 28, 2021 05:04 MYT
Menurut Azhar, disebabkan COVID-19, beliau cuba hadkan tempoh berbahas sehingga pukul 5.30 petang sahaja sekalipun Ketua Pengarah Kesihatan memberi nasihat Dewan Rakyat hanya boleh bersidang sehingga pukul 2 petang sahaja. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak empat lagi kes positif COVID-19 melibatkan kawasan Parlimen telah dikesan semalam, dedah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) hari ini, beliau berkata, atas sebab itu beliau cuba mengehadkan tempoh berbahas sehingga pukul 5.30 petang sahaja.
Menurut beliau, lanjutan masa itu juga sebenarnya jauh melebih apa yang dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan (KP), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah iaitu tidak melebihi pukul 2 petang.
“Saya nak terangkan sikit pasal masa ni. Kita pun telah tidak menuruti nasihat dan rekomendasi Tan Sri KP Kesihatan yang susah payah datang ke Parlimen beri penekanan. Kalau nak ikut nasihat beliau, kita sidang sehingga pukul 2 petang sahaja. Sebab beliau amat gusar dan bimbang.
“Semalam dengan hari ni sahaja kita dah ada tiga atau empat kes. Semalam dengan hari ini. Jadi, risiko agak tinggi. Sebab itu saya tetapkan pukul 5.30 tu beri peluang kepada semua berbahas,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mahu mengetahui sekiranya Speaker boleh melanjutkan masa perbahasan bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen.
4 kes baharu COVID-19 dikesan di Parlimen - YDP Dewan Rakyat
[LAPOR LANGSUNG] Mesyuarat Khas Parlimen bersidang untuk hari ketiga
Bagaimanapun, Azhar berkata, ia terpulang kepada Menteri bertanggungjawab untuk menentukan tempoh perbahasan bagi hari yang dimaksudkan.
Media sebelum ini melaporkan, dua Ahli Parlimen dikesan positif COVID-19, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk - BN) dan Datuk Dr Mansor Othman (Nibong Tebal - Bersatu).
Beberapa lagi Ahli Parlimen pula terpaksa menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Selain itu, setakat semalam, 12 petugas di Parlimen didapati positif, dan 58 lagi perlu menjalani kuarantin wajib.
#Azhar Azizan Harun #Speaker #Dewan Rakyat #risiko #COVID-19 #kes baharu #kes positif #Dr Noor Hisham Abdullah #Parlimen