Mesyuarat Khas Parlimen: Dewan Rakyat tolak usul bahas isu pemilikan saham Azam Baki

Astro Awani
Januari 20, 2022 05:14 MYT
Tegas Azhar Azizan, agenda Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang ditetapkan adalah berkaitan isu banjir - Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk membahaskan isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dikemukakan pembangkang.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau menerima usul itu yang dikemukakan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Selasa.
Bagaimanapun tegasnya, agenda Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang ditetapkan adalah berkaitan isu banjir.
"Saya akui terima usul tersebut yang dikemukakan dua hari lepas, dan saya sudah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil Perdana Menteri berdasarkan kuasa mutlak Perdana Menteri di dalam Aturan 11(3).
"Oleh sebab itu, saya tidak ada kuasa menentang atau menerima usul berkenaan. Kalau Yang Berhormat Pulai fokus, agenda ini ditetapkan Perdana Menteri.
"Sehingga hari ini, saya tidak mempunyai apa-apa notis dari Perdana Menteri, maka saya anggap usul itu dianggap tidak akan dimasukkan dalam agenda hari ini," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
SPOTLIGHT! BACA SEMUA BERHUBUNG AZAM BAKI DI SINI
Berhubung isu pemilkan saham, pada Selasa Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata ia tidak dapat membuat penemuan konklusif bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Sehari kemudian iaitu pada Rabu, SC memberikan penjelasan lanjut mengenai keputusannya untuk menamatkan inkuiri terhadap Azam.
Menurutnya, tindakan Azam tidak melanggar Seksyen 25 (4) SICDA.
#Azam Baki #SPRM #Mesyuarat Khas Parlimen #Azhar Azizan Harun