KUALA LUMPUR: Suasana dalam Dewan Rakyat kecoh susulan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak membenarkan tambahan masa untuk sesi Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Keempat Belas pada Selasa.

Khalid Samad (Shah Alam - PH) paling lantang bersuara dan mempersoalkan mengapa tiada tambahan masa diberikan sedangkan Ahli Parlimen mempunyai banyak perkara untuk dibangkitkan.

Tegasnya, dulu baik ketika zaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mereka boleh bersidang lama bahkan sehingga jam 3 pagi.

“Sekarang rakyat melihat dan inginkan kita cari penyelesaian terhadap masalah dihadapi. Kalau dulu dalam keadaan tiada darurat, tiada pandemik pun kita boleh bahas sampai 12 malam, sampai 3 pagi.

“Kenapa dalam keadaan sekarang yang begitu mendesak, meruncing, kita nak habis 5.30. Saya tak faham. Sudahlah lima hari sahaja. Dulu kita bersidang sampai dua minggu,” katanya.

Pertanyaan Khalid kemudian disambut beberapa Ahli Parlimen lain yang turut mempertikaikan perkara sama.

Mohd Rashid kemudian menjawab persoalan tersebut dan menyebabkan Ahli Parlimen yang lain bangun membidas jawapan beliau.

“Sebab daruratlah kita tak boleh berada lama-lama dalam ini (Parlimen). Yang Berhormat, saya telah menjawab.

“Sekarang saya jemput Menteri Kesihatan untuk menjawabnya,” ujarnya yang meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memulakan penggulungan.

M Karupaiya (Padang Serai - PH) juga bangun mencelah dan menegaskan sesi perbahasan perlu lebih lama kerana mereka membawakan suara rakyat.

“Speaker, bagi kita mati pun tidak mengapa janji rakyat selamat. Biar kita mati di sini tidak mengapa, rakyat mesti selamat.

“Beribu-ribu rakyat mesti diselamatkan, itu penting. Kita satu orang mati tak jadi masalah, ribu-ribu kita selamatkan di sana,” katanya.

Begitupun, Mohd Rashid bertegas dengan keputusannya dan kemudian sekali lagi mengarahkan Dr Adham untuk meneruskan penggulungan.