Mesyuarat Khas WEF: Seruan adaptasi teknologi untuk PKS harus guna bahasa mudah

Najib Aroff
April 29, 2024 05:15 MYT
Bandar Alkhorayef hadir pada Mesyuarat Khas WEF di Riyadh. - Foto WEF
ADAPTASI teknologi dalam kalangan industri khususnya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) harus dipermudahkan melalui penglibatan kerajaan dan syarikat korporat besar.
Menurut Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Bandar Alkhorayef, syarikat besar mempunyai kelebihan kepakaran dan sumber yang mana ia boeleh digunakan untuk membantu PKS turut sama menyertai adaptasi teknologi.
Melalui langkah itu, PKS mampu memasuki rantaian bekalan dengan lebih cekap kos.
Selain itu, dåsar berkaitan teknologi harus diterangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh PKS.
“Menjadi tugas kita untuk menunjukkan terutamanya kepada PKS di mana nilai akan wujud apabila kita adaptasi teknologi kerana perkara ini sukar diperkatakan.
“Semakin lama kita mendidik PKS, semakin tinggi kadar adaptasi teknologi. Saya tidak gusar dengan syarikat besar seperti ARAMCO kerana mereka mempunyai sumber yang besar dan pemikiran yang betul.
“Apa yang memerlukan penyertaan kerajaan adalah pemahaman dalam kalangan PKS,” katanya pada Mesyuarat Khas WEF di Riyadh.
Dalam sesi bertajuk “Where manufacturing and tech collide”, Bandar menekankan kerajaan bertanggungjawab besar untuk mencipta budaya dan ekosistem yang bersesuaian dengan PKS dalam adaptasi teknologi.
“Bagaimana kerajaan boleh mencipta budaya dalam ekosistem supaya orang ramai juga boleh menerima manfaat teknologi.
“Contohnya industri perlombongan yang lazimnya terletak jauh dari bandar, kita perlu wujudkan teknologi 5G, hubungankan semua kelengkapan mereka supaya mereka lebih menggunakan teknologi,” katanya.
Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gecko Robotics, Jake Loosararian berkata, meskipun banyak analisis dijalankan menunjukkan hubungan antara teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam sector industri, namun realiti sebenar adalah berbeza.
“Wujud banyak perhitungan tentang impak yang berlaku disebabkan oleh AI dan data raya dan ia akan mengubah cara industri beroperasi serta berfungsi.
“Saya boleh katakan di peringkat kemudahan pengeluaran, ia tidak berlaku. Ia mungkin berlaku di peringkat eksekutif namun saya mahu ia berlaku di peringkat kemudahan pengeluaran,” katanya.
Tambahnya kilang pengeluaran di Amerika Syarikat dan rantau lain masih menggunakan teknologi lama dalam mengurus inventori dan masih belum adaptasi kepada AI.
#Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi #Bandar Alkhorayef #PKS #Mesyuarat Khas WEF
;