MALAYSIA
Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi 19 Jun - Zambry

Zambry berkata deklarasi itu akan memperbaharui dan memperkukuh Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang telah diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada 21 Nov 2015. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sesi Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN akan berlangsung di sebuah hotel di Langkawi, Kedah pada 19 Jun ini dan dijangka menggariskan hala tuju baharu serantau dalam sektor itu.
Ringkasan AI
- Sesi Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN akan diadakan di Langkawi pada 19 Jun untuk merangka hala tuju baharu pendidikan tinggi serantau.
- Antara hasil utama ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN dan inisiatif biasiswa ASEAN-GEMS bagi galak pertukaran pelajar.
- Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, komited menjadikan pendidikan tinggi sebagai pemacu kecemerlangan rantau ini.
Beliau berkata antara hasil utama mesyuarat berkenaan ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pendidikan Tinggi: Ke Arah ASEAN yang Inklusif, Mampan dan Makmur yang akan menjadi dokumen asas atau pelan tindakan baharu dalam memperkasakan pendidikan tinggi di rantau ini untuk dekad akan datang.
Zambry berkata deklarasi itu akan memperbaharui dan memperkukuh Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang telah diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada 21 Nov 2015.
Beliau berkata mesyuarat Pegawai Kanan Pendidikan ASEAN (SOM-ED) pada 14 Feb lepas turut memperakui pelaksanaan inisiatif ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN-GEMS) yang dicadangkan oleh Malaysia melalui Perkhidmatan Pendidkan Malaysia Global (EMGS).
"Cadangan ini melibatkan pelaksanaan Program Biasiswa Intra-ASEAN yang membolehkan pertukaran pelajar antara negara anggota ASEAN dengan lebih lancar, tanpa sebarang halangan pergerakan serta memberikan pendedahan diplomasi dan budaya kepada mahasiswa," katanya.
Zambry turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan Tinggi (AWGHEM) kali ke-8 telah bersetuju untuk menjadikan kedua-dua inisiatif itu sebagai agenda utama persidangan meja bulat di Langkawi.
Beliau juga berkata sempena penganjuran Program MADANI Rakyat 2025 di Lumut Waterfront, Perak yang bertemakan Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI dan dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini, KPT akan mengetengahkan peranan pendidikan tinggi sebagai pemacu negara MADANI.
Program itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menampilkan pelbagai aktiviti membabitkan universiti, politeknik serta kolej komuniti.
Mengulas mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Zambry berkata KPT telah mengambil pendekatan strategik dengan mengadakan dua mesyuarat menteri dengan satu daripadanya melibatkan Menteri Pendidikan manakala satu lagi khusus untuk pendidikan tinggi.
"Dalam libat urus ini, kita mahu Malaysia menjadi nadi kecemerlangan pendidikan tinggi ASEAN dengan memperkukuh gerak kerja serantau antaranya melalui pemerkasaan tenaga pengajar dalam bidang seperti kecerdasan buatan dan teknologi terkini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami