ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Meta gagal banteras aktiviti jenayah dalam talian - Fahmi

Astro Awani 22/09/2025 | 10:00 MYT
Kementerian Komunikasi mengadakan pertemuan bersama pihak Meta di pejabat MCMC hari ini. - Foto FB Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa penyedia platform, Meta, masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.


Ringkasan AI
  • Meta dikritik kerana gagal beri kerjasama penuh membanteras jenayah siber, dengan 18,128 kes penipuan e-dagang melibatkan platformnya (Facebook, Instagram, WhatsApp) direkodkan sejak 2023, melibatkan kerugian lebih RM248 juta.
  • Daripada 168,774 permohonan penurunan kandungan kepada Meta, 59% melibatkan Facebook, termasuk 120,127 berkaitan judi dalam talian dan 37,722 berkaitan scam; sebahagian kandungan masih kekal di platform.
  • Kerajaan desak Meta perkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti lebih ketat seperti MyKad/MyDigital ID, serta beri amaran tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan dan kandungan menyalahi undang-undang.


Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata kes penipuan e-dagang melibatkan platform Meta seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp mencatat kerugian terkumpul melebihi RM248 juta dari tahun 2023 hingga Ogos 2025.

Katanya, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu, merekodkan sebanyak 18,128 kes dalam tempoh berkenaan.

"Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

"Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan tersebut dibuat selepas pertemuan bersama pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mesyuarat turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Jelas Fahmi, perbincangan memberi tumpuan kepada isu judi dalam talian, penipuan siber, penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (agama, kaum, institusi diraja) serta penjualan produk terlarang seperti cecair e-rokok mengandungi dadah.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setakat 19 September, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook

Jumlah itu, ujar beliau mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi

Daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.

"Manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan.

"Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Katanya, Meta dan semua platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada akaun.

"Ini kerana sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur, serta gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai," tambah beliau.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan dan penyedia platform mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.






#jenayah siber #Fahmi Fadzil #Meta gagal banteras jenayah dalam talian #media sosial #terkini