GADGETS

Meta halang remaja mengakses watak AI

Amanz 26/01/2026 | 04:10 MYT
Ciri watak AI kini mengesan usia pengguna dan sekiranya mendapati mereka bawah umur, ia tidak lagi boleh diakses seperti sebelumnya. - Foto Amanz
PENGGUNA platform Meta mempunyai akses kepada watak kecerdasan buatan (AI) yang dikuasakan oleh Meta AI.

Bagaimanapun, pada penghujung minggu lalu, Meta mengumumkan ciri watak AI kini tidak lagi boleh diakses oleh pengguna remaja dan bawah umur.

Halangan dikenakan hanyalah sementara menanti Meta membangunkan versi baharu watak AI yang lebih selamat digunakan individu bawah umur.

Ciri itu kini mengesan usia pengguna dan sekiranya mendapati mereka bawah umur, ciri watak AI tidak lagi boleh diakses seperti sebelumnya.

Selain itu jika remaja cuba mengelat dengan tarikh lahir palsu, sistem mengesan usia sebenar yang diperkenalkan sebelum ini juga akan menghalang akses secara serta merta.

Remaja walau bagaimanapun masih lagi boleh mengakses ciri lain di bawah payung Meta AI.

Pengumuman dilakukan ketika Meta disiasat beberapa negeri di Amerika Syarikat dan juga berhadapan saman oleh ibu bapa kerana watak AI didapati melakukan perbualan tidak sesuai dengan umur pengguna tahun lalu.







#Meta #watak AI #pengguna bawah umur #remaja