GADGETS

Meta lancar ciri mengesan video dimuat naik semula tanpa kebenaran di Facebook dan Instagram

Amanz 18/11/2025 | 02:20 MYT
FREEBOOTING ialah amalan memuat naik semula video orang lain di media sosial tanpa kebenaran dan tanpa memberikan kredit kepada penciptanya.

Ia adalah masalah yang sudah wujud sejak zaman awal internet dan masih berlaku sehingga ke hari ini.

Untuk menyelesaikan isu freebooting di platform mereka, Meta mengumumkan ciri Content Protection yang mengesan video yang dimuat naik ke Facebook dan Instagram tanpa kebenaran pemilik asal.

Pengguna diberikan pilihan untuk menyertai Content Protection apabila memuat naik reels ke Facebook. Selepas itu Meta akan mengesan sekiranya video sama dimuat naik oleh akaun lain.

Sebagai pemegang hak cipta, anda boleh melakukan tiga perkara apabila video telah menjadi mangsa freebooting.



Pertama ialah pilihan Track yang meletakkan pautan kredit kepada penghasil video asal.

Pilihan kedua ialah Block yang menghalang video yang dimuat naik secara haram ini ditonton di Facebook dan Instagram.

Pilihan ketiga ialah Release yang membiarkan video terus dipaparkan pada akaun lain dan berhenti melakukan penjejakan

Content Protection juga mempunyai ciri memberikan kebenaran kepada akaun lain untuk memuat naik video asal dengan kebenaran ini boleh ditarik semula bila-bila masa.

Ciri telah diaktifkan kepada peserta program Facebook Content Monetization dengan urusan kandungan diakses menerusi paparan Rights Manager.

#Freebooting #Content Protection #muat naik tanpa kebenaran #media sosial