MetMalaysia pantau pergerakan asap debu letusan gunung berapi Sinabung

Bernama
Mei 23, 2016 23:56 MYT
Gunung berapi setinggi 2,460 meter ini adalah antara yang paling aktif di Indonesia dan pada 2014 beberapa penduduk terbunuh dan beribu-ribu yang lain dipindahkan akibat letusannya. - Gambar fail
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus melakukan pemantauan secara berterusan terhadap pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata setakat ini tiada asap dan debu daripada gunung itu sampai ke Malaysia dan sehingga 12 tengah hari Isnin, tiada letusan susulan berlaku.
"Tiada asap (dan) debu dari gunung berapi Sinabung sampai ke negara ini kerana kelajuan angin di permukaan sehingga paras 5,000 kaki adalah lemah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Enam disahkan terkorban akibat letusan gunung berapi Sinabung
Katanya, MetMalaysia akan memantau secara berterusan pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi itu di kawasan ruang udara (FIR) Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
"Sekiranya berlaku letusan susulan dan asap (dan) debu itu memberi kesan kepada penerbangan dalam FIR tersebut, nasihat asap (dan) debu untuk penerbangan akan dikeluarkan," katanya.
Enam penduduk tempatan dilaporkan maut manakala tiga lagi kritikal akibat terkena debu panas gunung berapi di daerah Karo, Sumatera Utara itu yang meletus Sabtu lepas.
BACA: Debu letusan gunung berapi Sinabung tidak jejas Malaysia setakat ini
#debu gunung berapi #Gunung Berapi Sinabung #MetMalaysia #Wilfred Madius Tangau