MALAYSIA

MetMalaysia ramal luruan monsun, hujan lebat berterusan di Sarawak mulai 1 Jan

Bernama 29/12/2025 | 07:30 MYT
MetMalaysia meramalkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Jan depan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Jan depan.


Ringkasan AI
  • Luruan monsun dijangka memasuki Malaysia pada 1 hingga 5 Jan, membawa hujan lebat di Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
  • Orang ramai dinasihatkan merujuk laman MetMalaysia untuk maklumat cuaca terkini dan memuat turun aplikasi myCuaca.
  • Amar-amat dikeluarkan bagi kawasan perairan Malaysia dengan angin kencang sehingga 60km/jam dan ombak setinggi 4.5m, memberi kesan terhadap aktiviti pantai, perkapalan, menangkap ikan, dan sukan laut.


Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

"Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook MetMalaysia hari ini.

Dalam hantaran berasingan, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North sehingga Jumaat ini dengan kelajuan angin melebihi 60km/jam dan ombak setinggi melebihi 4.5 meter (m).

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," katanya.

Dalam tempoh sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.

Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan berkenaan, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

-- BERNAMA




#luruan monsun #MetMalaysia #Sarawak #hujan lebat #Laut China Selatan #terkini