NATIONAL
Mexico, Malaysia berpotensi kerjasama dalam pelbagai bidang teknologi - Duta

Yubazlan (kanan) berjabat tangan dengan Campuzano pada majlis sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Mexico dan Malaysia 1974-2024 di MATIC, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Mexico dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk kerjasama yang signifikan dalam pelbagai bidang teknologi, hasil daripada ekosistem inovasi yang semakin berkembang dan kedudukan geografi yang strategik, kata Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano.
Ringkasan AI
- Mexico dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk kerjasama dalam pelbagai bidang teknologi seperti kilang pintar, semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, dan kecerdasan buatan.
- Perdagangan dua hala antara Mexico dan Malaysia telah berkembang pesat, dengan perdagangan memuncak pada US$15 bilion pada 2022.
- Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, kedua-dua negara berharap untuk memperdalam perkongsian dalam pelbagai bidang dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan, pelajar, dan profesional.
Menurut Campuzano, walaupun jauh dari segi geografi, perdagangan dua hala Mexico dan Malaysia telah berkembang pesat, mewujudkan peluang untuk perniagaan dan usahawan di kedua-dua negara.
Malaysia telah disenaraikan antara 10 rakan dagang utama Mexico sejak beberapa tahun lepas dengan perdagangan dua hala memuncak pada US$15 bilion pada 2022, katanya.
Sempena ulang tahun keemasan itu, beliau berkata Mexico berharap untuk memperdalam perkongsiannya dengan Malaysia, untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat, mewujudkan peluang untuk perniagaan, pelajar dan profesional serta meneroka bidang kerjasama baharu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Benua Amerika Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Yubazlan Yusof yang mewakili kerajaan dalam majlis itu berkata hubungan Malaysia dan Mexico berakar umbi daripada nilai bersama, saling menghormati dan komitmen mendalam untuk memajukan perkongsian dalam pelbagai bidang.
"Sepanjang lima dekad yang lalu, negara kita telah membina kerangka kerjasama yang teguh dalam mengukuhkan hubungan ekonomi, memupuk pertukaran budaya dan memperjuangkan matlamat bersama di pentas global.
"Mexico telah menjadi rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin sejak dua tahun berturut-turut," katanya.
Jubli emas ini bukanlah sekadar meraikan pencapaian masa lalu tetapi platform untuk masa depan yang dinamik dengan peluang baharu berdasarkan kejayaan masa lepas kita yang akan membina asas yang lebih kukuh untuk masa depan dan mencetuskan pencapaian lebih besar, katanya.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mexico telah diwujudkan pada 27 Mac 1974. Sejak itu, pertukaran dalam pelbagai bidang dua hala dan pelbagai hala menunjukkan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.
Kedutaan Malaysia di Mexico ditubuhkan pada 1992.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami