Ketua Pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Mohamad Ghafar Abu Bakar sempat memohon maaf kepada ibunya berikutan tidak dapat pulang berhari raya kali ini kerana bertugas.

Inilah luahan hati Maimon Sarpan, 74, yang berkata tiada siapa menyangka anak sulung daripada tiga beradik itu itu tidak dapat meraikan hari raya bersama-sama keluarga untuk selama-lamanya.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa dengan anak sulungnya yang lebih mesra dipanggil Salem itu, adalah pada Isnin lalu semasa berbuka puasa bersama-sama di kediamannya di Kampung Seri Tanjong, Masjid Tanah.

Ketika itu dia dimaklumkan Mohamad Ghafar tidak dapat pulang berhari raya kerana perlu bertugas ke Beijing, China.

"Saya tidak tahu nak cakap apa bila tahu berita ini, hancur luluh hati saya mengenang anak saya itu.

"Anak saya sempat bagi duit raya kepada anak buah dia dan saya sendiri kerana tahu dia tidak dapat pulang berhari raya," katanya.

Katanya, anaknya yang sudah 25 tahun berkhidmat sebagai pramugara MAS sememangnya sejak dari kecil bercita-cita mahu menceburi dunia penerbangan dan Maimon berkata, Mohd Ghafar baharu sahaja pulang dari Jeddah.

Maimon turut memohon supaya gambar serpihan pesawat dan keadaan mangsa tidak disebarkan kerana akan terus menambah kesedihan yang dialaminya bersama keluarga mangsa nahas terlibat.

Dia menyifatkan anaknya sebagai seorang yang peramah dan gemar membuat lawak tetapi lebih suka berdiam diri apabila marah.

Katanya, semasa berbuka Isnin lalu, mangsa ada mengambil gambar-gambar lamanya untuk dimasukkan ke dalam laman Facebook.

Maimon berkata beliau mengetahui tentang tragedi itu daripada menantunya Normi Abdullah, 54, tengah malam tadi.

"Menantu saya telefon suruh buka televisyen tengok berita, katanya kapal terbang (dinaiki) anak saya terhempas, memang saya betul-betul terperanjat namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Mohamad Ghafar, 54, adalah antara 15 anak kapal dan 283 penumpang MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.