Pencarian pesawat penerbangan MH370 akan ditumpukan ke selatan zon carian susulan maklumat terbaru yang mencadangkan ia “mungkin telah membuat lencongan ke selatan” lebih awal berbanding laporan sebelumnya.

Maklumat terbaru ini muncul selepas data satelit “semakin diperhalusi” dan penyiasat cuba memetakan kedudukan pesawat tersebut dalam usaha menghubunginya dalam laluan penerbangan sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss pada Khamis.

“Kawasan pencarian masih sama, tetapi beberapa maklumat yang kita ada mencadangkan bahawa kawasan itu sedikit jauh ke selatan – dalam kawasan carian, tetapi sedikit ke selatan --- adalah menjadi keutamaan di kawasan carian ini,” katanya.

Truss berkata penyiasat yakin pesawat tersebut masih berada di zon carian gerbang ketujuh di mana isyarat satelit terakhirnya diterima.

“Ia masih berada di gerbang ketujuh – ada bukti kukuh bahawa pesawat ini terdampar di gerbang ketujuh,” tambahnya.

Truss memberi kenyataan tersebut ketika Australia dan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman di Canberra berhubung fasa pencarian seterusnya pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.