MH370
MH370: KD Lekiu mulakan misi sertai pencarian pada Khamis
Kapal KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tiba di Perth, Australia pada Isnin bakal berlepas dari Pelabuhan HMAS Stirling esok untuk menyertai operasi mencari pesawat MH370.
KD Lekiu yang merupakan salah satu kapal paling canggih TLDM itu akan mengambil masa tiga hari untuk tiba ke kawasan carian di Lautan Hindi kira-kira 1,800 kilometer barat laut Perth.

Kapal KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia
KD Lekiu membawa bersamanya helikopter Super Lynx dan dikendalikan oleh 160 kakitangan termasuk 11 yang dikhaskan bertugas untuk helikopter.
Menurut Komander Jamsari, keupayaan anak-anak kapal akan dioptimumkan untuk carian visual di kawasan itu kerana ia adalah kaedah terbaik untuk mengecam objek penting.
Helikopter Super Lynx turut digunakan untuk melebarkan kawasan carian.
Kehadiran kapal KD Lekiu menjadikan jumlah kapal ke kawasan carian meningkat kepada sembilan buah, termasuk kapal ADV Ocean Shield milik Australia yang membawa pengesan kotak hitam.
Sebelum ini, kapal KD Lekiu telah ditugaskan untuk mencari pesawat yang hilang di Laut China Selatan.