Teori 'perfect nosedive' pasukan matematik Texas A&M University Read yang menyatakan kemungkinan pesawat Malaysia Airline (MAS) Penerbangan MH370 terjunam di Lautan Hindi pada sudut 90 darjah, adalah satu perkara tidak mustahil kata pakar penerbangan Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian.

Namun menurut beliau, kebarangkalian pesawat itu terjunam secara menegak adalah sangat tipis.

"Mengenai teori Nosedive MH370, ada kebarangkalian ia boleh berlaku kerana sehingga kini kita tidak menjumpai serpihan atau tumpahan minyak di sekitar kawasan pencarian.

"Apabila sebuah pesawat terjunam menegak pada sudut hampir 90 darjah, limpahan geseran adalah tidak besar dan geseran hanya akan tertumpu pada bahagian sayap yang bersambung kepada fiuslaj pesawat.

"Ini akan menyebabkan pesawat tidak berkecai kepada bahagian-bahagian kecil tetapi fiuslaj akan terlerai dengan sayap sahaja," tambah beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut beliau yang juga Ketua Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), jika sesuatu pesawat terjunam secara muncung menegak, sistem yang dinamakan Flight Protection Envlop dalam pesawat perlu ditutup.

BACA: Teori junaman 'nosedive' rungkai misteri MH370 yang masih tidak dijumpai

MH370, NOSE DIVE
Teori nosedive: Berdasarkan simulasi dinamik cecair daripada pasukan penyelidik Texas A&M University, junaman muncung pesawat secara menegak hanya mengakibatkan kadar rintangan paling minimum. - Grafik Astro AWANI/Nasrul Shazli

"Untuk pesawat nosedive pada sudut hampir 90 darjah, Flight Protection Envelope hendaklah dimatikan kerana Flight Protection Envelope ini berfungsi untuk mencegah pesawat membuat pergerakan-pergerakan ekstrem.

"Ataupun ada kemungkinan juga Flight Protection Envelope tidak berfungsi pada insiden ini. Ini dapat dirungkai apabila kita dapat menemui kotak hitam pesawat," jelas beliau.

Ketika dihubungi pada Jumaat, beliau juga menyentuh kebarangkalian teori ini untuk berlaku dari sudut aerodinamik.

"Dari segi aerodinamik, beberapa simulasi di makmal telah membuktikan yang pesawat mempunyai keupayaan untuk nosedive pada sudut hampir 90 darjah namun pesawat tersebut mestilah berada pada altitude yang tinggi untuk ia self regulate pada sudut hampir 90 darjah.

"Satu lagi faktor yang membolehkan ia terjunam pada sudut hampir 90 darjah ialah apabila control wheel pesawat ditolak ke hadapan pada masa yang agak lama.

"Ini mungkin boleh berlaku jikalau satu jisim 'terbaring' di atas control wheel tersebut."

BACA:
MH370: Teori dan konspirasi yang mencabar logik
Adakah keengganan FAA mampu mengundang kejadian MH370 berulang?

Dalam satu laporan media Australia, Sydney Morning Herald pada Khamis, ahli matematik Texas A&M University di Qatar, Goong Chen menyifatkan teori 'perfect nosedive' itu boleh mengakibatkan pesawat yang membawa 239 penumpang itu jatuh dengan keadaan tidak terjejas sekali pun.

Teori ini juga menjelaskan mengapa tiada serpihan atau sebarang limpahan minyak dijumpai sejak pesawat itu hilang pada Mac tahun lalu, kata pasukan matematik ini.