Kerajaan Malaysia dan China diyakini mampu mencapai penyelesaian terbaik bagi mengelak sebarang persengketaan pasca tragedi MH370.

Menurut Pengerusi Institut Kajian CIMB ASEAN, Tan Sri Dr Munir Majid, hubungan antara dua negara selama 40 tahun kukuh di mana China adalah rakan dagang nombor satu Malaysia dan Malaysia rakan dagang ketiga terbesar China di Asia.

Tambahnya selain tragedi MH370 yang perlu ditangani dengan baik, pertikaian sempadan Laut China Selatan juga dilihat menjadi ancaman utama kepada hubungan baik dua negara.

Beliau pada masa sama berkata kesedihan serta keperitan yang ditanggung ahli keluarga penumpang serta kemarahan yang timbul adalah sesuatu yang difahami.

Namun beliau berharap emosi yang dizahirkan ahli keluarga dapat ditangani dengan baik oleh kedua-dua pihak.

Munir pada Ogos 2004 dilantik menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif MAS sehingga Julai 2011.