GADGETS

Microsoft Edge dikemas kini untuk paparan web lebih pantas

Amanz 09/07/2025 | 04:20 MYT
Microsoft Edge telah dikemas kini untuk memaparkan laman web dengan lebih pantas, menamatkan kelewatan yang biasanya menyebabkan ketidakpuasan pengguna selepas 300400ms. -Amanz
MICROSOFT Edge, pelayar web yang menggantikan Internet Explorer sebagai pelayar web rasmi Microsoft telah melalui banyak perubahan sebelum ia menjadi sebuah produk yang setanding dengan pelayar-pelayar lain seperti Google Chrome dan Mozilla Firefox.


Ringkasan AI
  • Microsoft Edge telah dikemas kini untuk memaparkan laman web dengan lebih pantas, menamatkan kelewatan yang biasanya menyebabkan ketidakpuasan pengguna selepas 300400ms.
  • Kemas kini ini meningkatkan prestasi metrik First Contentful Paint (FCP) dan Large Contentful Paint (LCP), dengan FCP kini dimuat turun dalam masa kurang daripada 300ms.
  • Prestasi Edge meningkat sebanyak 40% berbanding versi sebelumnya, termasuk dalam 13 ciri seperti mod split-screen dan menu tetapan, hasil daripada penggunaan rangka Chromium.


Terkini, Microsoft mengatakan bahawa pelayar web tersebut telah dikemas kini sekali lagi untuk membolehkannya memaparkan laman web pada kadar yang lebih pantas.

Melalui hantaran terbaharu mereka, pihak pembangun di Microsoft telah memerhatikan bahawa pengguna secara lazimnya hanya akan menunggu 300-400ms (milisaat) untuk kandungan sebuah laman web tertera sebelum mereka akan berasa tidak puas hati.

Anggaran paparan kandungan ini, yang dinamakan First Contentful Paint (FCP) memperlihatkan berapa lamakah masa yang diambil untuk media ataupun kandungan kecil tertera di skrin apabila pemaparan kandungan pada pelayar web sedang berlaku.

Satu lagi metrik ialah Large Contentful Paint (LCP) yang melihat berapa lamakah kandungan “besar” seperti latar belakang akan dipaparkan apabila sebuah laman web sedang dimuat-turun ke skrin.

Kedua-dua terma FCP dan LCP ini diperkenalkan oleh Google sebagai metrik untuk melihat betapa pantas pelayar web Google Chrome mereka boleh memaparkan kandungan-kandungan tertentu.

Tidak mengejutkan bahawa Microsoft juga menggunakan piawaian FCP ini kerana secara teknikalnya, Microsoft Edge dibina menggunakan rangka Chromium yang sama digunakan untuk membina pelayar web Google Chrome.

Dengan ini, pihak Microsoft mengatakan bahawa dengan kemas kini pelayar web Microsoft Edge terbaharu, mereka mendapati bahawa mereka telah berjaya untuk memastikan bahawa kandungan FCP dimuat turun pada pelayar web dalam masa kurang dari 300ms.


Apabila dibandingkan dengan kemas kini Edge sebelum ini, Microsoft mengatakan bahawa ia kini boleh memaparkan kandungan FCP pada kadar 40 peratus lebih pantas dan kini lebih cepat dalam memaparkan 13 ciri pelayar web, seperti membuka menu tetapan, menunjukkan kandungan dalam mod split-screen dan lebih cekap dalam memaparkan kandungan kerja melalui web. -Amanz






#Microsoft #Edge #paparan lebih pantas #First Contentful Paint #Large Contentful Paint