[TERKINI] Setiausaha Agung FAM Digantung Tugas Serta-Merta. Isu dokumentasi pemain warisan kepada FIFA – Ikuti perkembangan di sini
GADGETS

Microsoft pindah pembuatan Surface keluar dari China

Amanz 17/10/2025 | 05:30 MYT
Microsoft akan memindahkan pengeluaran Surface dan komponen pusat data dari China ke negara lain mulai tahun depan bagi mengurangkan kesan tarif import. -Foto Amanz
MICROSOFT dilapor akan memindahkan pengeluaran Surface dan kelengkapan pusat data dari China ke negara lain seawal tahun depan, menurut laporan Nikkei Asia.


Ringkasan AI
  • Microsoft akan memindahkan pengeluaran Surface dan komponen pusat data dari China ke negara lain mulai tahun depan bagi mengurangkan kesan tarif import.
  • Langkah ini melibatkan keseluruhan proses pembuatan, bukan sekadar pemasangan, dan 80% komponen pusat data akan diambil dari luar China.
  • Tindakan ini menyusuli strategi Apple yang telah memindahkan pengeluaran ke India dan Vietnam, susulan tarif tambahan 100% dikenakan oleh Trump ke atas China.


Pemindahan ini dilakukan secara menyeluruh termasuk pembuatan komponen dan tidak terhenti sekadar di tahap pemasangan.

Keputusan diambil selepas melihat impak tarif yang dikenakan ke atas produk diimport daripada China yang telahpun memaksa Microsoft menaikkan harga jualan Xbox Series X dan S di Amerika Syarikat tahun ini.

Dalam laporan yang sama, Microsoft dikatakan meminta 80% komponen pusat data perlu diambil daripada luar China dengan dipercayai ia juga akan diguna pakai pada pengeluaran Surface dalam masa terdekat.

Tidak diketahui ke mana pengeluaran akan dipindahkan.

Langkah memindahkan pengeluaran ini sudahpun dilakukan Apple sejurus selepas Tarif Trump diumumkan pada April lalu.

Apple memilih India dan Vietnam sebagai pusat pengeluaran produk untuk pasaran Amerika. Percaturan Apple nyata berbaloi kerana minggu lalu Trump mengenakan tarif tambahan 100% ke atas China selepas negara tersebut menyekat eksport sumber nadir bumi.

Presiden Trump dan Xi dipercayai bersetuju melakukan pertemuan empat mata di Korea Selatan hujung bulan ini sempena persidangan APEC.

Ini diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai isu berkenaan perdagangan antara dua negara dengan saiz ekonomi terbesar dunia. -Amanz







#Microsoft #Surface #pusat data #China