Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
GADGETS

Microsoft siasat dakwaan Israel guna Azure untuk intip warga Palestin

Amanz 18/08/2025 | 04:30 MYT
Microsoft telah memulakan siasatan rasmi melalui firma guaman Covington & Burling, menegaskan penggunaan Azure untuk pengawasan awam adalah melanggar syarat perkhidmatan. -Gambar hiasan/Amanz
HAMPIR dua minggu lalu, Israel didakwa menggunakan infrastruktur awanan Microsoft Azure bagi melakukan pengintipan besar-besaran ke atas panggilan telefon warga Palestin, menurut siasatan bersama The Guardian, +972 Magazine dan Local Call.


Ringkasan AI
  • Israel didakwa menggunakan Microsoft Azure untuk menyimpan rakaman panggilan telefon warga Palestin bagi tujuan pengintipan dan operasi ketenteraan.
  • Microsoft telah memulakan siasatan rasmi melalui firma guaman Covington & Burling, menegaskan penggunaan Azure untuk pengawasan awam adalah melanggar syarat perkhidmatan.
  • Pergerakan BDS terus memberi tekanan kepada Microsoft susulan penglibatan mereka dengan Israel, menyebabkan kerugian besar kepada syarikat lain seperti Starbucks dan McDonalds.


Pada penghujung minggu lalu Microsoft akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi kepada The Guardian mengatakan mereka telah memulakan siasatan bagi mengesahkan dakwaan serius ini.

Siasatan akan dilakukan oleh firma guaman Covington & Burling dengan Microsoft menegaskan penggunaan Azure untuk penyimpanan fail data panggilan telefon yang diperoleh melalui pengawasan luas atau besar-besaran orang awam di Gaza dan Tebing Barat adalah dilarang oleh syarat perkhidmatan.

Sistem intipan Israel dilakukan oleh Unit 8200 sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.

Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland.

Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.

Ini adalah siasatan oleh pihak luar yang kedua dilakukan oleh Microsoft.

Pada Mei lalu, siasatan pertama mendapati tiada sebarang bukti teknologi Azure dan kecerdasan buatan (AI) digunakan oleh Israel untuk mencederakan warga Gaza.

Siasatan pertama dilakukan selepas Microsoft dikecam kerana mempunyai kontrak menawarkan perkhidmatan awanan kepada Israel yang bernilai $133 juta.

Tekanan yang diterima Microsoft semakin berlipat ganda selepas laporan The Guardian, +972 Magazine dan Local Call diterbitkan.

Microsoft ialah antara syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai pergerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) antarabangsa kerana penglibatan mereka dengan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid secara aktif di Palestin.

Pergerakan BDS telah menyebabkan kerugian besar kepada Starbucks dan McDonald’s sehingga memaksa penutupan restoran di negara majoriti Muslim seperti Malaysia. -Amanz








#Microsoft #azure #rejim Zionis #pengintipan dan operasi ketenteraan