MALAYSIA

Middle Bank: Permata tersembunyi ekosistem marin Pulau Pinang

Amzar Alif 25/11/2025 | 03:51 MYT
Rumput laut jenis Enhalus acoroides dan Sea Anemone yang membentuk habitat penting di Middle Bank, Pulau Pinang, dilihat subur ketika air surut. – Foto Yayasan PETRONAS.
GEORGE TOWN: Di sebalik hiruk-pikuk kota dan deruan enjin kapal yang merentasi perairan Pulau Pinang, tersembunyi sebuah lanskap alam yang jarang diketahui umum, hamparan rumput laut di Middle Bank, antara khazanah penting yang menyokong kelestarian ekosistem marin negara.


Ringkasan AI
  • Lanskap alam Middle Bank di Pulau Pinang, dengan hamparan rumput laut, menjadi fokus penyelidikan konservasi oleh UPM, Yayasan PETRONAS, dan Astro AWANI.
  • Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan rumput laut masih rendah, padahal ia penting dalam keseimbangan ekologi marin serta sebagai sumber makanan dan perlindungan habitat.
  • Pentingnya pemuliharaan ekosistem Middle Bank yang diiktiraf sebagai kawasan rumput laut terluas di Malaysia, menuntut kerjasama semua pihak termasuk pembuat dasar, akademik, komuniti tempatan, dan sektor industri.


Terletak hanya beberapa kilometer dari pusat bandar George Town, kawasan ini menjadi tumpuan penyelidikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Yayasan PETRONAS dan Astro AWANI dalam misi meneliti kelangsungan rumput laut serta usaha konservasi yang sedang dijalankan.

Middle Bank merupakan antara lokasi utama dalam inisiatif pemetaan rumput laut di Malaysia, satu kerjasama strategik antara Yayasan PETRONAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), penyelidik dan komuniti setempat.

Di dasar laut ceteknya, rumput laut spesies Enhalus acoroides dan Halophila ovalis membentuk permaidani hijau yang menjadi habitat pembiakan, tempat perlindungan dan sumber makanan bagi pelbagai spesies akuatik seperti ikan, ketam, kerang, siput, serta haiwan terancam seperti dugong dan penyu.

Menurut Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Prof Muta Harah Zakaria, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan rumput laut masih rendah, meskipun ia memainkan peranan besar dalam keseimbangan ekologi.

“Ramai tidak tahu bahawa rumput laut ialah tumbuhan berbunga yang menjalani kitar pembiakan lengkap dalam air masin, menghasilkan bunga, buah dan benih,” jelasnya.


Rumput laut jenis Halophila ovalis turut wujud di dasar Middle Bank, menjadi komponen penting yang menyokong biodiversiti marin di kawasan ini. – Gambar Yayasan PETRONAS


Tambah beliau, struktur pembiakan rumput laut sangat sensitif. Gangguan seperti pemendapan lumpur atau pergerakan enjin bot boleh menjejaskan proses pendebungaan, sekali gus mengancam kelangsungan habitat ini.

Lebih daripada sekadar tumbuhan laut, rumput laut berfungsi sebagai penapis semula jadi air laut, menyerap karbon dari atmosfera, menstabilkan dasar laut dan mengurangkan hakisan pantai.

Kehilangannya, kata Muta, boleh mengganggu keseluruhan rantaian makanan laut dan menjejaskan sumber ekonomi komuniti pesisir.

Namun begitu, Middle Bank masih belum dikenali ramai. Ramai penduduk tempatan tidak menyedari kewujudan kawasan ini dan nilai ekologinya.


Antara spesies kerang dan siput yang menjadikan kawasan rumput laut Middle Bank sebagai lokasi pembiakan, perlindungan dan sumber makanan. – Gambar Yayasan PETRONAS


“Middle Bank memiliki hamparan rumput laut yang sihat dan subur. Ia perlu diperkenalkan kepada umum agar masyarakat memahami dan menghargai kepentingannya,” katanya dalam sesi tinjauan bersama Astro AWANI.

Beliau turut menggesa agar sebarang pembangunan pesisir dilakukan secara berhemah, termasuk memperjelas laluan bot bagi mengelakkan kerosakan pada zon sensitif ketika air surut.

“Jika kita tidak jaga sekarang, generasi akan datang mungkin hanya dapat melihat rumput laut ini dalam buku teks,” katanya dengan penuh harapan.


Beberapa spesimen rumput laut yang dikumpul penyelidik UPM bagi tujuan dokumentasi dan analisis struktur pembiakan di Middle Bank. – Gambar Yayasan PETRONAS

Middle Bank kini diiktiraf sebagai antara kawasan rumput laut terluas di Malaysia, meliputi lebih 90 hektar dan membentuk rangkaian habitat marin bersama lokasi lain seperti Beting Burung, Pulau Korea dan Beting Korea.

Malaysia juga mencatatkan kewujudan 17 spesies rumput laut, menjadikannya antara negara dengan kepelbagaian spesies tertinggi di Asia Tenggara.

Sebagai penutup, Muta menyeru semua pihak, daripada pembuat dasar, ahli akademik, komuniti setempat hingga sektor industri, untuk bersama-sama memperjuangkan pemuliharaan ekosistem ini.

“Universiti boleh menjalankan pemetaan dan penyelidikan, tetapi kejayaan sebenar hanya akan tercapai apabila masyarakat turut serta menjadi penjaga khazanah alam ini,” tegasnya.

Koleksi kerang, siput dan biota marin lain yang direkodkan penyelidik sebagai sebahagian daripada penilaian biodiversiti Middle Bank. – Gambar Yayasan PETRONAS


Program konservasi ini dilaksanakan oleh UPM dengan sokongan Yayasan PETRONAS sebagai sebahagian daripada usaha advokasi alam sekitar dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan khazanah marin negara.








#yayasan petronas #Middle Bank #konservasi rumput laut #UPM