Migrasi dalam negeri meningkat 63.5 peratus pada 2024 - DOSM

Dr Mohd Uzir berkata Johor mencatatkan peratusan migran dalam negeri tertinggi pada 2024 iaitu 70.3 peratus, diikuti Selangor (69.5 peratus) dan Sabah (68.7 peratus). - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pergerakan penduduk Malaysia pada 2024 terus didominasi oleh migrasi dalam negeri apabila mencatatkan 63.5 peratus, meningkat berbanding 62.3 peratus pada 2022, menurut Laporan Survei Migrasi, Malaysia, 2024, yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ringkasan AI
- Pergerakan penduduk Malaysia pada 2024 didominasi oleh migrasi dalam negeri dengan kadar 63.5%, meningkat daripada 62.3% pada 2022 menurut Laporan Survei Migrasi Malaysia 2024 oleh DOSM.
- Johor mencatatkan peratusan migran dalam negeri tertinggi pada 2024 iaitu 70.3%, diikuti Selangor (69.5%) dan Sabah (68.7%), dengan aliran migrasi dalam negeri terutamanya dari bandar ke bandar.
- Migrasi antarabangsa menujukkan penurunan kepada 6.3% pada 2024, manakala faktor mengikut keluarga kekal merupakan sebab utama migrasi pada tahun tersebut menurut ketua perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
"Semua negeri mencatatkan pergerakan tertinggi dari bandar ke bandar, kecuali Kelantan dan Pahang yang merekodkan pergerakan tertinggi dari bandar ke luar bandar.
"Ini menunjukkan pergerakan migran yang sepenuhnya tertumpu di kawasan bandar, sejajar dengan peranan bandar sebagai pusat ekonomi dan peluang pekerjaan," katanya.
Mohd Uzir berkata empat negeri mencatatkan peratusan migran bandar ke bandar melebihi 90 peratus iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Beliau berkata migran antara negeri mencatatkan penurunan sedikit pada 2024 kepada 30.2 peratus berbanding 30.3 peratus pada 2022.
Putrajaya merekodkan peratusan migran antara negeri tertinggi iaitu 88.5 peratus, diikuti Kedah (60.3 peratus) dan Pahang (52.8 peratus).
Beliau berkata migran antarabangsa menujukkan penurunan kepada 6.3 peratus pada 2024, berbanding 7.4 peratus pada 2022.
Mohd Uzir dalam pada itu berkata penduduk berumur satu tahun dan lebih yang berhijrah pada 2024 meningkat kepada 301,100 orang, hampir dua kali ganda berbanding 158,800 orang pada 2022, dengan kadar migrasi turut mencatatkan peningkatan kepada 0.9 peratus berbanding 0.5 peratus pada 2022.
Mohd Uzir berkata migrasi dalaman disebabkan faktor mengikut keluarga kekal sebagai sebab utama migrasi pada 2024, dengan peratusan menurun kepada 46.2 peratus berbanding 47.3 peratus pada 2022.
"Ini diikuti dengan persekitaran iiatu 26.1 peratus, kerjaya 17.2 peratus, perkahwinan dan perceraian (3.7 peratus) serta pendidikan (tiga peratus)," katanya.
Laporan Survei Migrasi, Malaysia, 2024 memaparkan statistik migrasi penduduk yang berkaitan dengan kadar migrasi, migrasi dalaman dan antarabangsa.
Survei Migrasi 2024 telah dijalankan pada 2024 bagi tempoh rujukan 2023 hingga 2024.
Laporan Survei Migrasi menyediakan statistik mengenai migrasi di peringkat negeri serta ciri demografi dan sosioekonomi termasuk jantina, kumpulan umur, kumpulan etnik, taraf perkahwinan, pencapaian pendidikan, strata, pekerjaan dan industri.
Migran di dalam laporan itu ditakrifkan sebagai penduduk yang mempunyai tempat kediaman biasa berbeza pada dua titik masa dalam tempoh setahun, tidak termasuk mereka yang berpindah dalam kawasan sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


