MALAYSIA

MIHAS@Shanghai catat jualan RM1.24 billion dalam tempoh tiga hari sejak Rabu

Nazri Kahar 07/11/2025 | 10:00 MYT
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke China di sini hari ini. - Foto DPMO
SHANGHAI: Pameran Halal Antarbangsa Malaysia MIHAS@ Shanghai yang diadakan sempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelapan telah mencatatkan transaksi kira-kira RM1.24 bilion dalam tempoh tiga hari sejak Rabu (5 Nov).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran kali ini ialah untuk mencapai sekurang-kurangnya RM3 bilion, dengan tiga hari pameran berbaki yang berakhir 10 November.

"Namun saya yakin, kita ada tiga hari lagi dan insya-Allah kita akan dapat mencapai," katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke China di sini hari ini.

CIIE ialah inisiatif kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pencapaian jualan MIHAS@Shanghai dicapai melalui tiga komponen utama iaitu INSP bernilai RM651.8 juta, pameran RM271 juta, dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM315.3 juta.

Beliau berkata, 43 peratus daripada hasil jualan terdiri daripada produk makanan pra-paket, 16 peratus produk berasaskan minyak sawit, 12 peratus minuman, 10 peratus produk pertanian dan 5 peratus perkhidmatan kewangan Islam.

Ahmad Zahid berkata aspek paling penting dalam menembusi pasaran China ialah kebijaksanaan mewujudkan permintaan daripada pembeli premium dan bukan premium.

“Yang paling penting ialah kita mesti bijaksana di dalam mewujudkan permintaan dari pembeli-pembeli premium dan pembeli-pembeli bukan premium, ertinya pasaran yang besar di negara China dengan potensi sebanyak 1.4 bilion penduduk dengan kemampuan kuasa beli, purchasing power yang cukup tinggi.

"Jika usaha ini dapat dijalankan berterusan bukan hanya melalui sistem business to business (B2B) dan juga business matching tetapi usaha-usaha dapat dijalankan secara atas talian, saya yakin secara jangka panjangnya matlamat MIHAS@Shanghai, MIHAS@Dubai dan lain-lain tempat yang akan ada penyertaan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di luar negara dengan kepimpinan pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz, ianya akan terus dibantu untuk pemasaran ini dilakukan," katanya.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan China telah melonggarkan syarat-syarat pengimportan barangan dari luar negara termasuk Malaysia, dan menegaskan keperluan untuk memperkukuh susulan selepas pameran.

"Di dalam hal ini dan pada hemat saya, usaha yang dijalankan ini harus digandakan dengan follow through atau tindakan-tindakan susulan bukan sahaja oleh MATRADE tetapi oleh para pengusaha sendiri," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid juga memuji penyertaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang terdiri daripada 29 syarikat, yang turut mencatat jualan RM29 juta dalam satu hari.



"Setakat semalam sahaja mereka telah dapat jualan RM29 juta. Ada tiga syarikat yang mempamerkan produk bird’s nest dan banyak produk-produk lain.


Saya fikir ini akan dapat membantu memasarkan produk-produk kita kerana kualiti produk kita bukan sahaja dari segi packaging tetapi dari segi kualiti produk kita sendiri,” katanya.







#Ahmad Zahid Hamidi #MIHAS Shanghai #Pameran Halal Antarbangsa Malaysia #jumlah jualan