KUALA LUMPUR: MIMOS Berhad mengetengahkan lebih 26 teknologi merentasi lima sektor strategik menerusi MIMOS Technology Preview (MTP) 2026, dalam usaha memastikan hasil penyelidikan tempatan diterjemahkan kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan industri dan negara.
Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan MIMOS Berhad, Dr Zulaikha Kadim berkata, pembangunan teknologi di MIMOS tidak lagi tertumpu kepada pencapaian dalam makmal semata-mata, sebaliknya digerakkan ke arah penggunaan sebenar yang memberi impak kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Menurutnya, tema Technology Beyond Boundaries yang diangkat pada MTP 2026 mencerminkan aspirasi MIMOS untuk membawa teknologi melangkaui sempadan penyelidikan dan memasuki ekosistem industri.
Katanya, lebih 26 teknologi yang dipamerkan merangkumi bidang pembuatan pintar, pertanian pintar, bandar pintar, penjagaan kesihatan serta teknologi kepercayaan (trust technologies) yang menyokong agenda pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Teknologi yang dibangunkan perlu kekal relevan, responsif dan mampu menjawab keperluan sebenar pengguna serta industri.
“Kita tidak membangunkan teknologi secara bersendirian, sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan, universiti dan penyedia teknologi lain bagi memastikan penyelesaian yang dihasilkan benar-benar diperlukan pasaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MTP 2026 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Jelasnya, sokongan kerajaan menerusi pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut membantu mempercepatkan pembangunan pelbagai projek teknologi strategik negara.
Pada masa sama, katanya, kerjasama rapat dengan pemain industri membolehkan MIMOS menyesuaikan teknologi yang dibangunkan mengikut cabaran sebenar yang dihadapi sektor berkenaan.
Zulaikha berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak terhenti pada peringkat pembuktian konsep semata-mata, sebaliknya berjaya dikomersialkan dan digunakan secara meluas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Solutions Sdn Bhd, Wan Ahmad Jafri Wan Abdul Aziz berkata, antara teknologi yang diketengahkan pada MTP 2026 ialah Mi-KidzAlert, sistem keselamatan pintar yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak di sekolah dan pusat pendidikan awal.
Menurut beliau, sistem berkenaan menggabungkan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan dan pengecaman wajah untuk memantau pergerakan pelajar serta individu yang memasuki kawasan sekolah.
Katanya, Mi-KidzAlert kini berada pada peringkat projek rintis dan sedang diuji di MIMOS Early Education Centre (MIMOS Junior Academy) sebelum diperluaskan ke institusi pendidikan lain.
“Kami sedang mengumpul maklum balas daripada pelaksanaan projek rintis ini bagi meningkatkan ketepatan sistem sebelum dikomersialkan secara lebih meluas.
“Aspek keselamatan dan keberkesanan sistem sentiasa diberi perhatian termasuk pengesahan identiti ibu bapa serta ketepatan pengecaman wajah dan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.
MTP 2026 menghimpunkan pelabur, firma modal teroka, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pemain industri bagi meneroka peluang pelaburan, kerjasama dan pengkomersialan teknologi tempatan.
Program yang berlangsung di kampus MIMOS, Technology Park Malaysia itu membawa tema “Technology Beyond Boundaries: Advancing Malaysia’s Technology Frontier”, selaras aspirasi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam teknologi mendalam, inovasi dan daya saing global.