[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
GADGETS

MIMOS unggul di ITEX 2025, buktikan kepimpinan inovasi teknologi negara

Amzar Alif 05/06/2025 | 07:10 MYT
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr Saat Shukri Embong (barisan hadapan, dua dari kanan), dan Ketua Pegawai Teknologi MIMOS, Dr Pannirselvam Kanagaratnam (barisan hadapan, paling kanan), bergambar bersama para pemenang di ITEX.
KUALA LUMPUR: MIMOS, agensi penyelidikan strategik negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus mengukuhkan kedudukannya di persada teknologi apabila merangkul 17 pingat emas, empat perak, serta dua anugerah utama di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2025.

Ringkasan AI
  • MIMOS meraih kejayaan besar di ITEX 2025 dengan memenangi 17 pingat emas, 4 perak dan dua anugerah utama termasuk Anugerah Paling Berprestij dan Anugerah Produk Inovatif Malaysia (MIPA) untuk Sistem Penjejakan Dalaman Berketepatan Tinggi.
  • Antara inovasi emas MIMOS termasuk pemantauan glukosa tanpa jarum, sistem pengesanan imej sintetik, kembar digital untuk UGV, dan robotik peta pokok berasaskan penderia pintar untuk pertanian pintar.
  • Sebagai agensi strategik di bawah MOSTI, MIMOS kini memiliki lebih 2,000 paten dan terus memperkukuh ekosistem inovasi negara dengan penyelesaian teknologi tempatan yang berdaya saing di peringkat global.

Pencapaian membanggakan itu menyaksikan MIMOS membawa pulang Anugerah Paling Berprestij (Patron Award) sebagai pemenang terbanyak emas serta Anugerah Produk Inovatif Malaysia (MIPA) menerusi Sistem Penjejakan Dalaman Berketepatan Tinggi.
Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS, Dr Saat Shukri Embong, kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan agensi itu dalam memacu inovasi teknologi termaju dan mendukung misi negara ke arah pendigitalan yang berdaya saing di peringkat global.
“Kejayaan MIMOS di ITEX 2025 membuktikan keupayaan kami untuk memimpin dalam bidang inovasi teknologi tinggi.
"Setiap pengiktirafan ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan hasrat negara menjadi Digital Nation yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
ITEX 2025 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menarik penyertaan lebih 900 ciptaan daripada lebih 15 negara.
Ia menjadi platform utama bagi mempamerkan potensi komersial inovasi serta merapatkan jurang antara penyelidik dan pelabur.
xxx
Antara inovasi utama MIMOS yang meraih emas termasuk Sistem dan Kaedah untuk Pengesanan Ketidaksempurnaan Berdasarkan Imej Sintetik, pemantauan glukosa masa nyata tanpa jarum, serta Kembar Digital dan Simulasi 3D untuk Kenderaan Darat Tanpa Pemandu (UGV) dalam operasi perladangan.
Turut memenangi pingat emas ialah inovasi robotik peta pokok berasaskan penderia pintar yang membolehkan navigasi autonomi dalam persekitaran tanpa GPS, khususnya untuk aplikasi pertanian dan perhutanan pintar.
Sementara itu, pingat perak diraih menerusi teknologi seperti pemetaan kenderaan darat tanpa pemandu berasaskan data udara, dan Inkubator Telur Modular Berasaskan IoT untuk Pengusaha PKS dalam Bidang Penternakan memperkasakan mereka dengan teknologi pengeraman pintar dan modular.
Sebagai agensi teras MOSTI dalam penyelidikan dan pembangunan, MIMOS kini memegang lebih 2,000 paten merentasi pelbagai bidang teknologi, sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem inovasi negara dan melonjakkan kebolehpasaran penyelesaian teknologi tempatan.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mimos.my.
#ITEX 2025 #mimos #MOSTI #inovasi #teknologi #Dr Saat Shukri Embong