AYER KEROH: Kerajaan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasa dan mencari jalan terbaik khusus bagi mendidik dan melatih minat generasi baharu dalam bidang teknologi dan sains yang dilihat masih lemah ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk menubuhkan pasukan khas dalam menyuntik semangat serta bimbingan tentang cabaran dan disiplin baharu dalam bidang itu.

Beliau berkata, seiring dengan pelaburan yang besar dalam bidang automotif serta teknologi hijau, penglibatan anak-anak tempatan dalam bidang pengkhususan teknologi amat diperlukan.

Bagaimanapun katanya, laporan akhir yang diterima sebelum ini mendapati minat anak tempatan dalam bidang sains dan teknologi terlalu rendah terutamanya daripada anak-anak tempatan di kawasan pedalaman dan miskin bandar.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semua semangat anak-anak supaya  didik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baru dalam bidang teknologi baharu dan sains kerana dari kajian awal minat anak-anak utama di desa pedalaman dan miskin bandar itu minat dalam bidang sains dan teknologi juga merosot.

“Ini cabaran bagi kita dan negara yg menuju ke bidang teknologi hijau, electric vehicle, cabaran iklim, digitalization tetapi tidak cukup anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.
 
Sambutan yang bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.