MINDEF bangunkan dokumen rasmi pembangunan teknologi dron - Adly

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata dokumen terbabit sedang dibangunkan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang membangunkan dokumen rasmi mengenai pembangunan teknologi dron dan antidron pertahanan bagi mengurangkan kebergantungan pada teknologi asing selain mewujudkan ekosistem industri pertahanan berteknologi tinggi dan berdaya saing.
Ringkasan AI
- MINDEF sedang membangunkan dokumen rasmi pembangunan teknologi dron dan antidron pertahanan melalui STRIDE dan MiDAS bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing.
- Penyelidikan melibatkan pembangunan tiga jenis dron udara tempatan untuk tujuan perisikan, pengawasan dan peninjauan.
- Kerajaan turut memperoleh dron ANKA dari Turkiye serta berhasrat melibatkan 30% veteran dalam industri pertahanan bagi memanfaatkan kepakaran mereka.
"Inisiatif ini juga memberikan penekanan kepada pembangunan berasaskan teknologi tempatan bagi menjamin kemandirian dan merangsang pertumbuhan industri pertahanan negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang ingin tahu jika kerajaan telah melabur dalam usaha pemodenan aset ketenteraan negara, khususnya dalam pembelian dron dan peralatan laser bagi pertahanan negara.
Adly memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan perolehan dron ANKA Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) buatan Turkish Aerospace Industries sebagai sebahagian usaha pemodenan menyeluruh bagi meningkatkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan jarak jauh, khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.
"Memang ada satu dasar mahu bawa hampir 30 peratus veteran kita ke industri pertahanan kerana kerajaan sudah membelanjakan jumlah yang agak besar untuk membina kepakaran mereka, kalau kita hentikan kepakaran itu sekadar pencen sahaja, sebenarnya ia kerugian buat negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami