MALAYSIA

Mindef bangunkan sistem pemantauan kontrak, perkukuh tadbir urus perolehan - Adly

Bernama 23/07/2025 | 13:30 MYT
Adly berkata, langkah itu diambil susulan teguran dalam LKAN 2/2025 yang menyentuh kelemahan penguatkuasaan terma kontrak khususnya melibatkan isu denda lewat. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan membangunkan satu sistem pemantauan kontrak bagi memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan perolehan aset serta projek termasuk pelaksanaan tindakan penguatkuasaan lebih awal terhadap kelewatan projek.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata langkah itu diambil susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang menyentuh kelemahan penguatkuasaan terma kontrak khususnya melibatkan isu denda lewat.

Beliau berkata dalam sistem perolehan kementerian ketika ini, denda lewat dikenakan ketika permohonan lanjutan masa (EOT) dipertimbang walhal sepatutnya ia boleh dikuatkuasakan lebih awal.

"EOT seharusnya datang dengan dua (situasi) iaitu sama ada EOT bersama denda lewat atau tanpa denda... kadang-kadang EOT itu tanpa denda kerana mungkin ada persoalan-persoalan teknikal... tetapi saya fikir kalau EOT nak diberi, kita boleh kuatkuasakan EOT dengan denda.

"Kita akur dengan kelemahan penguat kuasa terma kontrak ini... oleh itu, kita dalam proses bangunkan sistem pemantauan kontrak bagi membantu pegawai memantau kontrak-kontrak," katanya ketika menggulung perbahasan LKAN 2/2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

#Kementerian Pertahanan #sistem pemantauan kontrak #Adly Zahari #LKAN #penguatkuasaan