KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan dakwaan seolah-olah tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap pihak terbabit berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menurut timbalan menterinya, Adly Zahari, siasatan dibuat oleh pihak berkuasa terbabit dan Mindef sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama.

"Seolah-olah langsung tiada pendakwaan, itu tidak benar. Dakwaan berlaku cuma memang kita (Mindef) tak puas hati kerana telah membelanjakan sekian banyak (untuk LCS) tetapi hasilnya belum dapat kita lihat.

"Kika di Mindef sentiasa memberikan kerjasama kerana bagi kita, di samping memberikan keutamaan kepada penyiasatan ini, pada masa sama teras utama adalah memastikan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberikan keutamaan dan paling penting, kedaulatan negara menjadi keutamaan Mindef," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Adli (PH-Alor Gajah) menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) kenapa sehingga kini tiada seorang pun yang ditangkap dan diambil tindakan mahkamah berhubung isu LCS.

Sementara itu, Adli memaklumkan, kapal LCS pertama dijangka ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026 selepas melalui ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut.

"Dalam perkembangan terkini, kontrak tambahan keenam telah ditandatangani pada 26 Mei 2023 yang merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja pembinaan LCS.

"Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam perjanjian tambahan ini, kapal LCS pertama akan siap pembinaan pada bulan November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut oleh pihak TLDM.

"Insya-Allah LCS pertama dijangka ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada kahir tahun 2026," tambahnya.