MALAYSIA

Mindef sedia tebus guna tanah rizab, lapang sasar lama bina rumah anggota ATM

Bernama 19/01/2026 | 10:41 MYT
Mohamed Khaled berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah rizab di Pahang dan Pulau Pinang dan dua lapang sasar lama bagi tujuan berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia melepaskan tanah rizab dan lapang sasar lamanya di seluruh negara untuk dibangunkan sebagai tapak projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) bagi memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terbela.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu perlu kerana banyak tanah milik kementerian kini telah dikelilingi oleh kawasan pembangunan perumahan awam, menyebabkan fungsinya sebagai lapang sasar tidak lagi sesuai.

Beliau berkata jika kementerian tidak bertindak segera untuk menukar status tanah berkenaan, terdapat risiko aset itu akan diambil alih oleh pihak lain bagi tujuan pembangunan berbeza.

"Daripada terlepas kepada pihak lain dan kerana ia memang disediakan untuk ATM, maka wajarlah tanah-tanah yang sesuai itu kami tukar untuk dijadikan projek rumah SASaR supaya banyak anggota berpeluang membeli rumah," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah rizab di Pahang dan Pulau Pinang dan dua lapang sasar lama bagi tujuan berkenaan.

Mohamed Khaled ketika mengulas mengenai projek Residensi Sateria berkata ia adalah projek SASaR pertama yang berjaya disiapkan sepenuhnya melibatkan sebanyak 3,500 penerima kunci.

Beliau menyifatkan projek itu sebagai satu bentuk intervensi kerajaan yang amat penting bagi membolehkan anggota tentera memiliki kediaman sendiri pada harga yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran.

"Harga-harga yang ditawarkan melalui projek ini semuanya pada harga mampu milik, sekitar RM150,000 sehingga RM250,000. Jauh lebih murah berbanding harga pasaran. Jika tidak ada intervensi ini, tidak mungkin anggota kita berpeluang untuk beli rumah ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata selain projek di Sungai Besi, projek sama juga sedang dilaksanakan di kawasan Kem Wardieburn dan Setapak.

Beliau turut memberi jaminan kementerian itu melalui Pelan Tindakan Perumahan 3.0 akan terus memantau setiap projek yang dirancang bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual demi merealisasikan impian anggota ATM memiliki rumah sendiri.

"Di dalam sebuah rumahlah kehidupan terbina, terlahirnya kasih sayang, nilai kekeluargaan dan rasa kebersamaan. Atas dasar itulah, menyediakan rumah menjadi satu daripada agenda yang teramat penting dalam Kementerian Pertahanan," katanya.

-- BERNAMA

#tanah rizab #lapang sasar #rumah anggota #ATM #Khaled Nordin