MALAYSIA

Mindef tubuh jawatankuasa siasat kematian pegawai kadet Palapes UTM - Khaled

Bernama 02/08/2025 | 08:50 MYT
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain kementeriannya jawatankuasa itu turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram di sini, Isnin lepas.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa siasatan melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat kematian Syamsul Haris Shamsudin, pegawai kadet Palapes UTM yang meninggal dunia ketika latihan di Pulada, Ulu Tiram.
  • Mangsa dilaporkan meracau dan hilang kawalan semasa menjalani Latihan Inokulasi Tempur sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Bedah siasat telah dilakukan tetapi keputusan masih belum diperoleh.
  • Walaupun ibu mangsa membuat laporan polis berikutan kesan lebam teruk pada jenazah anaknya, pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes tersebut setakat ini.


Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain kementeriannya jawatankuasa itu turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri.

"Saya difahamkan bedah siasat sudah pun dibuat tetapi kita belum dapat keputusan. Di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat mengenai punca dan sebab kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang wanita yang juga ibu kepada mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, membuat laporan polis selepas jenazah anaknya Syamsul Haris Shamsudin ditemukan dengan kesan lebam yang teruk.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian pegawai kadet berusia 22 tahun itu.

Laporan mengenai mengenai insiden itu diterima pada 5.33 petang, 28 Julai lepas dan hasil siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, kira-kira 2.30 petang hari yang sama.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan Rejimen Semboyan Angkatan Tentera namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan.

--BERNAMA





#kadet Palapes #kes kematian #Mindef #Mohamed Khaled Nordin