MALAYSIA
Mindef tumpu tingkatkan pos kawalan sempadan Malaysia-Kalimantan

Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada pembinaan dan peningkatan pos kawalan di sempadan Malaysia-Kalimantan. - Gambar hiasan/ Reuters
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan pos kawalan di kawasan sempadan negara khususnya antara Malaysia dan Kalimantan, Indonesia.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada pembinaan dan peningkatan pos kawalan di sempadan Malaysia-Kalimantan walaupun berdepan cabaran logistik, termasuk di kawasan pedalaman seperti Long Singut, Kapit.
- Seramai 60 pegawai dan 1,004 anggota TDM telah diatur gerak dalam operasi sempadan Malaysia-Thailand seperti Op Pagar dan Op Kota, dengan penambahan aset seperti ATV, UAV dan motosikal scrambler.
- Kawalan sempadan turut diperkukuh melalui kerjasama dua hala dengan Tentera Diraja Thailand, termasuk rondaan gabungan dan pembinaan empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) di Kedah.
"Cabaran kita untuk sediakan pos di sempadan dengan Kalimantan dari segi logistik agak sukar...berdasarkan pengalaman pihak kontraktor, sukar untuk membangunkan pos kawalan di sesetengah kawasan kerana ia benar-benar di kawasan pedalaman," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Selangau) yang ingin tahu status pembinaan pos kawalan di kawasan Long Singut, Kapit, Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan bagi mengatasi aktiviti pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
Sementara itu, Adly berkata sebanyak 60 pegawai dan 1,004 anggota lain-lain pangkat (LLP) Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diatur gerak dalam operasi melibatkan kawasan perbatasan Malaysia-Thailand.
"Operasi ini merangkumi Op Pagar II dan Op Kota Bravo/Charlie/Delta di Kedah, Op Pagar III dan Op Kota Echo/Foxtrot di Perak serta Op Merpati Sektor 8 Briged di Kelantan," katanya.
Beliau menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.
Adly berkata pelaksanaan operasi itu turut ditambah baik menerusi penugasan aset baharu seperti kenderaan pacuan empat roda, motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), serta senggaraan infrastruktur secara berterusan di semua pos penempatan operasi yang diselaras Jawatankuasa Perancang Gerakan.
Beliau berkata kawalan di kawasan sempadan turut diperkukuh dengan kerjasama dua hala antara TDM dan Tentera Diraja Thailand menerusi perjanjian General Border Committee Malaysia-Thailand.
"Antara bentuk kerjasama itu ialah mesyuarat Regional Border Committee, Mesyuarat Land Working Group dan rondaan gabungan Combined Force Border Patrol yang dikoordinasi Malaysia-Thailand Border Coordination Office," katanya.
Beliau berkata empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) juga diwujudkan melalui pembinaan pos secara bersebelahan antara kedua-dua negara iaitu PST Ban Di Da dan Ban Di Samoe di daerah Sik, Kedah serta PST 34 dan 36/100 di kawasan Durian Burung, Padang Terap, Kedah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami