Minggu Imunisasi Dunia: Pentingnya vaksin dalam kehidupan

Khairunnisa Kasnoon
April 30, 2021 22:36 MYT
Minggu Imunisasi Dunia disambut setiap tahun pada minggu terakhir April - bertujuan mempromosikan penggunaan vaksin untuk melindungi semua peringkat umur daripada penyakit.
KUALA LUMPUR: Imunisasi menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun dan diakui secara meluas sebagai salah satu intervensi kesihatan yang paling berjaya di dunia.
Namun, masih ada hampir 20 juta kanak-kanak di dunia hari ini yang tidak mendapat vaksin yang diperlukan, sementara banyak yang ketinggalan vaksin penting semasa remaja, dewasa dan tua.
Pakar Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Petrick Periyasamy menjelaskan, vaksinasi yang berterusan merupakan tunjang utama dalam penjagaan kesihatan masyarakat.
Ini kerana, ia boleh melindungi daripada banyak penyakit berjangkit yang serius.
Tegasnya, vaksin bukan sahaja diperlukan untuk bayi atau golongan muda, tetapi ia juga boleh melindungi golongan dewasa.
"Orang dewasa yang lebih tua, berumur 50 ke atas, lebih berisiko menghidapi penyakit seperti pneumokokus, kerana gangguan refleks, gag, gangguan fungsi alat mukokiliari, penurunan imuniti dan kehadiran komorbiditi lain, seperti kencing manis dan darah tinggi.
"Dengan populasi yang semakin tua dan beban penyakit yang boleh dicegah vaksin seperti pneumokokus, vaksin pneumonia, terutamanya orang dewasa, mempunyai kepentingan yang sama seperti kanak-kanak," ujarnya kepada Astro AWANI.
Pada masa sama, Dr Petrick menyeru semua pihak terutamanya petugas kesihatan untuk lebih proaktif dalam membangkitkan topik vaksinasi serta membetulkan maklumat yang salah.
"Dengan komitmen pelbagai pihak, kita akan dapat melindungi diri dan juga orang di sekitar kita dengan menyukarkan penyebaran penyakit berjangkit.
"Ini dikenali sebagai 'kekebalan kawanan', dan merupakan satu contoh lain manfaat unik vaksinasi," katanya lagi.
Beliau juga berharap vaksin dapat membantu melindungi lebih ramai orang daripada penyakit berjangkit yang mengancam nyawa seperti pneumonia, pneumokokus dan COVID-19.
Minggu Imunisasi Dunia disambut setiap tahun pada minggu terakhir April - bertujuan mempromosikan penggunaan vaksin untuk melindungi semua peringkat umur daripada penyakit.
#Kanak-kanak #bayi #kesihatan #remaja #perubatan #COVID-19 #vaksin #petugas kesihatan #penyakit berjangkit #imunisasi #Petrick Periyasamy #UKM