MALAYSIA

Minggu Ops Gerak 2025: JAS perkukuh pematuhan pelepasaan kenderaan

Bernama 04/12/2025 | 14:30 MYT
Wan Abdul Latiff menegaskan JAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dalam usaha melindungi alam sekitar. - Gambar Bernama
KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini melancarkan Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan standard pelepasan kenderaan di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) melancarkan Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan 2025 untuk memastikan pematuhan standard pelepasan kenderaan di seluruh negara.
  • JAS menekankan pematuhan dalam pengurusan refrigeran selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020 bagi menangani pelepasan bahan yang merosakkan atmosfera.
  • JAS memperkasakan pasukan penguat kuasa dengan penambahbaikan peralatan pemantauan serta perolehan kenderaan operasi baharu, sambil menyeru sektor kerajaan, industri, dan masyarakat untuk bersatu demi agenda kelestarian alam sekitar.


Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata Ops Gerak Kebangsaan pada kali ini dilaksanakan pada minggu kedua Disember secara serentak di seluruh negara dan diteruskan secara berjadual dari semasa ke semasa.

Beliau menegaskan pendekatan JAS sebagai agensi penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.

"Selain penguatkuasaan kenderaan bermotor, JAS turut menekankan pematuhan dalam pengurusan refrigeran," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia di sini, hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata JAS akan terus komited memastikan semua pihak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020, seiring usaha negara menangani pelepasan bahan yang menjejaskan atmosfera.

"Selaras dengan itu, JAS turut mempertingkat kesiapsiagaan melalui penambahbaikan peralatan pemantauan, merangkumi 22 unit meter asap untuk pemeriksaan kenderaan diesel, 14 unit gas analyser model terkini bagi kenderaan petrol dan 14 unit Sound Level Meter untuk pengukuran tahap bunyi yang lebih tepat.

"Keupayaan pasukan penguat kuasa di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, turut diperkasakan dengan perolehan kenderaan operasi baharu seperti Toyota Hilux dan Proton X70," katanya.

Beliau menegaskan JAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dalam usaha melindungi alam sekitar.

"Saya menyeru semua sektor kerajaan, industri dan masyarakat untuk terus berganding bahu demi memastikan agenda kelestarian alam sekitar dapat dicapai secara mampan dan menyeluruh," katanya.

Bertemakan Hari Ozon Sedunia, "From Science to Global Action", tema tahun ini menegaskan bahawa kejayaan memelihara atmosfera bumi bergantung kepada kesediaan kolektif untuk bertindak berani dan berpaksikan data.

-- BERNAMA


#Jabatan Alam Sekitar #sektor kerajaan #alam sekitar #pengurusan refrigeran