Miri perlu menjadi sebuah bandar raya pelancongan yang dapat menarik kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak, disebabkan potensinya yang cukup besar.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri Lee Khoi Yun berkata, kunjungan ramai pelancong khususnya dari negara berhampiran, Brunei, membuatkan bilangan premis perniagaan serta kawasan-kawasan pelancongan di bandar raya itu semakin bertambah.

"Bagaimanapun kita tidak boleh hanya bergantung kepada kemasukan pelancong dari Brunei sahaja, wakil-wakil rakyat juga harus berikhtiar memajukan industri pelancongan dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Himpunan Perniagaan Cina Bersama Calon Barisan Nasional (BN) Miri di sebuah hotel di sini, beliau berkata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri dengan jumlah keanggotaan lebih 500 orang, sedia bekerjasama dengan mana-mana wakil rakyat yang dipilih, khusus bagi memesatkan lagi pembangunan Miri.

Katanya, beliau berpandangan jurang perbezaan ekonomi antara masyarakat di bandar dan luar bandar akan dapat dirapatkan jika aspek perhubungan jalan raya dapat ditingkatkan.

"Begitu juga dengan pelabuhan Miri di Kuala Baram, ia juga perlu dinaik taraf menjadi salah sebuah pelabuhan utama yang mengurus aktiviti import dan eksport negeri," katanya.

Lee berkata pihaknya juga berharap Lapangan Terbang Miri boleh dijadikan sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa, dengan membanyakkan lagi penerbangan terus ke luar negara, memandangkan ketika ini hanya penerbangan terus ke Singapura sahaja disediakan di lapangan terbang itu.

Sementara itu, penasihat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Datuk Sim Hock Guan berkata beliau melihat tidak banyak perubahan yang dilakukan DAP sejak parti itu mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Pujut, yang terletak dalam kawasan parlimen Miri, sejak lima tahun lalu.

"Walaupun BN kehilangan dua kerusi itu (di Miri lima tahun lalu, namun Ketua Menteri 'Tok Nan' (Datuk Seri Adenan Satem) dilihat bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik kepada semua kaum, terutama masyarakat Cina di Sarawak," katanya.

"Beliau pemimpin pertama yang berani melakukan perubahan dengan mengiktiraf peperiksaan UEC (United Examination Certificate) dan memartabatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat, jelas menunjukkan beliau begitu dekat dengan kami dari kaum Cina," katanya.

Kira-kira 200 anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri yang terdiri daripada ahli perniagaan dan pemilik syarikat perindustrian, hadir pada majlis himpunan itu.