Skip to main content

Malaysia

MiSHA, NCC perkukuh kerjasama KKP menerusi pemindahan teknologi, kepakaran

MISHA Malaysia, NCC China
Lawatan yang diketuai Naib Presiden MiSHA, Abd Mutalib (lima, kiri) bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha memperkasa piawaian KKP, malah menjadi platform diplomasi industri dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China. Gambar/ MiSHA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) dan Nanjing Chemical Construction Co. Ltd. (NCC) memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi pertukaran kepakaran teknikal, pemindahan teknologi serta perkongsian amalan terbaik industri.

Kerjasama itu diketengahkan menerusi lawatan rasmi delegasi MiSHA ke ibu pejabat NCC di Yangxin Road, Nanjing, Jiangsu, China, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Lawatan yang diketuai Naib Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib Abd Gapar itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha memperkasa piawaian KKP, malah menjadi platform diplomasi industri dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China berasaskan perkongsian kepakaran, teknologi dan pengalaman.

Menurut MiSHA, antara tumpuan utama lawatan ialah pendedahan kepada penggunaan teknologi serta pendekatan kejuruteraan bagi mengawal risiko dalam industri kimia dan pembinaan berisiko tinggi.

"Antara amalan yang menarik perhatian delegasi ialah penggunaan 'dashboard' interaktif secara masa nyata yang membolehkan pihak pengurusan memantau prestasi KKP, pencapaian kualiti serta perkembangan kerja bagi keseluruhan projek yang sedang dilaksanakan.

"Sistem itu membolehkan maklumat dari tapak bina dipantau secara lebih tersusun dan pantas, sekali gus membantu pengurusan membuat keputusan serta melaksanakan tindakan penambahbaikan dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Delegasi turut diperkenalkan kepada penggunaan mesin kimpalan mudah alih yang membolehkan sebahagian besar kerja kimpalan dilakukan di aras tanah sebelum komponen dipasang di lokasi sebenar.

Pendekatan berkenaan dapat mengurangkan keperluan pekerja melakukan kerja kimpalan di tempat tinggi, selain mengurangkan pendedahan kepada risiko kerja panas dan kerja di tempat tinggi.

Teknologi itu turut berpotensi mempercepatkan proses kimpalan sehingga hampir 50 peratus berbanding kaedah konvensional, di samping meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa kerja dan menghasilkan kualiti sambungan kimpalan yang lebih konsisten.

MiSHA turut diberi pendedahan mengenai penggunaan 'Building Information Modelling' (BIM) bagi memastikan pelaksanaan pembinaan di tapak selaras dengan pelan serta lukisan reka bentuk yang ditetapkan.

Melalui BIM, perbezaan antara reka bentuk dan keadaan sebenar pembinaan dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membantu mengurangkan kesilapan, kerja pembetulan serta risiko akibat ketidakselarasan antara perancangan dan pelaksanaan.

Selain teknologi, delegasi MiSHA juga melihat pendekatan kawalan kerja berisiko tinggi yang praktikal, antaranya penggunaan sistem pembesar suara ketika aktiviti heavy lifting bagi memberi amaran kepada pekerja supaya tidak memasuki radius atau zon larangan operasi.

MiSHA menambah lawatan itu menunjukkan peningkatan prestasi KKP tidak semestinya bergantung kepada teknologi kompleks semata-mata, sebaliknya gabungan teknologi, pendekatan kejuruteraan praktikal, sistem pemantauan berkesan dan disiplin operasi mampu memberi impak terhadap keselamatan, kualiti serta produktiviti projek.

MiSHA berkata hasil lawatan itu dijangka menjadi pemangkin kepada perkongsian pengetahuan dan adaptasi amalan terbaik yang bersesuaian bagi meningkatkan piawaian keselamatan industri dan pembinaan di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar NCC, Fang Xiangqian menyatakan sokongan penuh syarikat itu terhadap kerjasama yang bakal diperkukuh bersama MiSHA, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik KKP.

"NCC memberikan sokongan penuh terhadap kerjasama yang bakal dilaksanakan bersama MiSHA. Kami berharap pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif dua hala, perkongsian kepakaran serta pertukaran pengetahuan antara kedua-dua pihak.

"Kerjasama seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan China, malah membantu memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan terus diperkasakan di tempat kerja serta budaya KKP diterapkan secara konsisten sepanjang pelaksanaan sesuatu projek," katanya dalam kenyataan sama.

Lawatan tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderamata simbolik sempena Bulan Kebangsaan serta komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama teknikal, pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran dan pembangunan budaya KKP pada masa hadapan.

 

Must Watch Video

Advertisement