Skip to main content

Malaysia

Misi bantuan 30 kontena, GSF 2.0 dua inisiatif berbeza - SNCC

Sidang Media Khas oleh YAB MB & MAPIM - Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza & Global Sumud Flotila 2.0.   Sumber - Astro AWANI
Peserta yang bersama semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) pada 6 April 2026 adalah delegasi Misi 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan bukannya peserta GSF 2.0. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) adalah dua inisiatif berbeza.

SNCC dalam kenyataan hari ini, memberitahu Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza ialah misi bantuan melalui jalan darat diusahakan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), melalui sokongan Kerajaan Malaysia dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penaung utama misi itu.

Advertisement

Misi 30 kontena itu juga adalah misi di bawah koordinasi SNCC sebagai sebahagian daripada lima teras strategik gerak kerja SNCC kali ini.

“Misi 30 kontena bukannya sebahagian daripada koordinasi GSF 2.0. Tiada barangan dari 30 kontena yang akan dibawa menaiki flotilla (laut).

“Peserta yang bersama semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) pada 6 April 2026 adalah delegasi Misi 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan bukannya peserta GSF 2.0,” katanya.

Bagi GSF 2.0 pula, SNCC memaklumlan ia adalah misi pelayaran melalui laut melibatkan flotila hampir 100 kapal dalam gerakan solidariti antarabangsa untuk memecahkan kepungan laut Gaza.

Menurut kenyataan itu, misi pelayaran kali ini disertai gagasan tujuh inisiatif secara bersama iaitu Sumud Nusantara, the People's Flotilla, Global March to Gaza, Sumud Maghreb, Freedom Flotilla Coalition, Thousand Madleen to Gaza serta Freedom and Sumud Flotilla Eurasia.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dipilih mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 bagi memudahkan urusan perundingan dengan kerajaan Mesir sekali gus melancarkan penghantaran bantuan.

Sementara itu, SNCC berkata kehadiran Amirudin di Barcelona adalah sebagai wakil Kerajaan Malaysia yang bersama menyaksikan pelepasan peserta Malaysia untuk GSF 2.0.

Menurut SNCC, pelepasan kedua-dua misi itu dirancang dengan tarikh berdekatan untuk memberi tekanan strategik kepada rejim zionis.

“Justeru, Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan dua inisiatif berbeza, dengan peranan, saluran pelaksanaan dan fungsi tersendiri sebagai usaha berterusan untuk membela Gaza dari segmen advokasi, bantuan serta tekanan diplomasi dunia,” katanya.

SNCC juga mengingatkan sebarang rujukan, laporan dan hebahan berkaitan hendaklah dibuat secara tepat dan jelas bagi memastikan usaha kemanusiaan Malaysia terus dihormati, difahami dan disokong oleh masyarakat serta komuniti antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video