[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Misi FCC: MyCARE tunggu pengesahan delegasi Malaysia tiba di Istanbul

Faida Rahim 10/10/2025 | 03:50 MYT
Kamarul Zaman berkata, pihaknya masih menunggu maklumat daripada Wisma Putra.
KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat membawa sekumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) dari 22 negara yang akan tiba di Istanbul, Turkiye, petang ini berkemungkinan turut membawa sembilan aktivis Malaysia.


Ringkasan AI
  • Sebuah pesawat dari Israel dijangka tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 8 malam waktu Malaysia, berkemungkinan membawa sembilan aktivis Malaysia yang ditahan semasa misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
  • Pesawat tersebut turut membawa enam aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Norway, Morocco dan Sepanyol, dan pihak MyCARE masih menunggu pengesahan rasmi daripada Wisma Putra mengenai status delegasi Malaysia.
  • Turkiye sebelum ini menyatakan kesediaan membantu pembebasan aktivis Malaysia, termasuk lapan yang menaiki kapal Conscience dan seorang di kapal Umm Saad, seperti disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pesawat itu turut membawa enam orang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu dari Norway, Morocco dan Sepanyol.

"Maklumat yang kami terima daripada Pusat Operasi FFC di Turkiye, Kementerian Luar Turkiye memberitahu akan akan ada penerbangan dari Israel mendarat di Istanbul 3 petang (waktu Turkiye) (jam 8 malam waktu Malaysia) hari ini.

"Berkemungkinan delegasi Malaysia turut berada dalam pesawat berkenaan termasuk enam aktivis GSF," katanya dalam sidang media taklimat terkini di ibu pejabat MyCARE di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu maklumat daripada Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia di dalam penerbangan tersebut.

Sebelum ini, Turkiye memaklumkan bersedia membantu untuk membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan FFC dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.

Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

#Misi FFC #rakyat Malaysia #Turkiye #Genosid Gaza