Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Misi FFC dan TMTG: PM zahir rasa syukur sembilan rakyat Malaysia selamat dibebaskan

Shafiqa Azami 10/10/2025 | 15:06 MYT
PM Anwar memanjat rasa syukur 9 rakyat Malaysia sertai misi FFC & TMTG selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas pembebasan sembilan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang selamat tiba di Terminal VIP, Lapangan Terbang Istanbul Grand, di Istanbul, Turkiye pada Jumaat.

Menerusi kenyataan di laman media sosial, Anwar berkata, jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa pulang kesemua aktivis ke tanah air dalam masa terdekat.

“Syukur ke hadrat Allah S.W.T, sembilan lagi wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Turkiye.

Jentera kerajaan di bawah kendalian KLN di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

"Penghargaan saya kepada Kerajaan Turkiye yang membantu mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah,” menurut kenyataan itu.


Kesemua sembilan aktivis itu merupakan sebahagian daripada sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel selepas kapal Freedom Flotilla Coalition dipintas di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Rabu.

KLN sebelum ini mengesahkan kesemua mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921, dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada jam 2.30 petang (waktu tempatan) atau 7.30 malam (waktu Malaysia).

Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil merupakan antara sembilan aktivis Malaysia berada di atas kapal Conscience dalam misi kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza.







#Anwar Ibrahim #Freedom Flotilla Coalition #Thousand Madleens to Gaza #Syaff Shukri