23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Misi FFC: Jika kapal dipintas Israel, bantuan kemanusiaan dibiar 'mereput' - MyCARE

Asyraf Malik 04/10/2025 | 11:38 MYT
Kamarul Zaman berkongsi pengalaman pernah dilalui beliau ketika meyertai misi kemanusiaan untuk memecah kepungan rejim Zionis di Gaza. - Foto Astro AWANI/Abdul Wafi Norazmi
SERI KEMBANGAN: Kapal Conscience yang mengikuti konvoi pelayaran Freedom Flotilla Coalition (FFC) membawa bantuan perubatan dan makanan bayi untuk penduduk Gaza, kesemuanya bernilai sekitar RM500,000.


Ringkasan AI
  • Kapal Conscience membawa bantuan bernilai RM500,000 termasuk perubatan dan makanan bayi untuk penduduk Gaza, kini berada kurang 400 batu nautika dari Gaza berhampiran Greece.
  • Risiko pintasan Israel semakin meningkat, berdasarkan pengalaman misi terdahulu di mana bantuan tidak sampai ke Gaza dan kapal ditinggalkan di pelabuhan Ashdod sebagai propaganda.
  • Delegasi Malaysia seramai sembilan orang termasuk doktor, pensyarah, ahli MyCARE dan wartawan Astro Awani, bersama 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.


Setakat petang Sabtu, kapal Conscience berada kurang 400 batu nautika dari persisiran Gaza berhampiran Greece, kebarangkalian untuk dipintas dan diculik rejim Zionis semakin meningkat.

Sekiranya situasi igauan ngeri ini menjadi kenyataan, persoalan timbul apakah akan terjadi kepada bekalan bantuan dibawa, jika dalam insiden Global Sumud Flotilla (GSF), Israel menggunakan ia sebagai bahan propaganda, kononnya kapal pelayaran itu kosong.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata berdasarkan misi kemanusiaan terdahulu, bekalan ini tidak sampai ke destinasi, ia dibiarkan mereput di pelabuhan Ashdod, Israel.

"Pada tahun 2016 dulu, kita ada misi Womens's Boat to Gaza, 16 kotak perubatan kita bawa. Kemudian kami dipintas oleh Israel, kami dibawa ke Ashdod, pihak rejim Zionis cakap akan hantar bekalan itu ke pejabat kami di Gaza.

"Kami pun bagi alamat pejabat itu, tetapi bantuan berkenaan tidak pernah sampai. Itu hanya propaganda semata-mata. Sama juga misi kemanusiaan yang lain, bekalan bantuan dan kapal pelayaran ditinggalkan untuk merosak di Ashdod.

"Cuma untuk misi Estelle daripada Sweden, mereka lawan dan heret ke mahkamah, akhirnya dapat pampasan bernilai 50,000 euro (RM245,000) untuk aset yang lesap dalam pintasan Israel," ujar Kamarul ketika sidang media, di sini pada Sabtu.

Sekiranya misi kali ini berjaya memecahkan kepungan Israel di Gaza, Kamarul mengharapkan masa dua hari untuk mengagihkan bantuan.

"Dua hari penuh kita berlabuh di Gaza, pengamal media yang mengikuti kami pergi membuat liputan, pasukan perubatan bantu penduduk Gaza. Selapas dua hari, kita naik semula kapal dan pulang.

"Kalau ada yang mahu tinggal lebih lama di Gaza, mereka boleh buat aturan sendiri. Ini yang kami harapkan Insya-Allah sekiranya dipermudahkan," ujar beliau.

Delegasi Malaysia menaiki kapal Conscience antaranya Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.

Mereka membawa kepakaran tersendiri iaitu bidang obstetrik dan ginekologi, psikiatri serta perubatan am.

Turut serta di atas kapal Conscience adalah wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Keseluruhan anak kapal Conscience terdiri daripada 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Seorang lagi delegasi Malaysia merupakan Dr Maziah Muhammad di atas kapal Umm Saad, menjadikan jumlah keseluruhan wira dan wirawati negara dalam pelayaran FFC seramai sembilan orang.




#Freedom Flotilla Coalition #bantuan kemanusiaan #MyCare #rejim Zionis #Kamarul Zaman Shaharul Anwar #Gaza #Israel #Global Sumud Flotilla