Misi FFC: Kapal bantuan kemanusiaan Conscience tiba di Pelabuhan Ashdod

Gambar menunjukkan lokasi terakhir kapal bantuan "Conscience" yang telah tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel selepas dipintas pihak berkuasa Israel ketika menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan. - Foto Global Sumud Flotilla
KAPAL bantuan kemanusiaan Conscience dilaporkan telah tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel, sekitar 9 malam waktu tempatan (2 pagi Khamis waktu Malaysia).
Ringkasan AI
- Kapal bantuan kemanusiaan Conscience, bersama aktivis yang ditahan, selamat tiba di Pelabuhan Ashdod selepas dipintas tentera Israel dalam misi ke Gaza.
- Freedom Flotilla Coalition menganjurkan konvoi sembilan kapal, termasuk wakil Malaysia, bagi menghantar bantuan dan mencabar sekatan Israel ke atas Gaza.
- Pasukan peguam tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke kawasan pelabuhan, menyebabkan maklumat lanjut mengenai aktivis masih belum dapat dipastikan.
Dilaporkan, kesemua kapal itu dalam perjalanan menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda konflik tersebut.
Difahamkan juga, semua aktivis yang ditahan kini telah tiba di Ashdod. Namun, setakat ini perkembangan lanjut masih belum dapat dipastikan kerana pasukan peguam bagi gabungan misi bantuan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke kawasan pelabuhan.
Untuk rekod, Freedom Flotilla Coalition (FFC) menganjurkan misi maritim awam ini sebagai usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, selain menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terjejas.
Terdahulu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan bahawa sembilan kapal di bawah misi kemanusiaan FFC dan The Malaysian Team for Gaza (TMTG) termasuk kapal Conscience dan Umm Saad telah dipintas tentera Israel sekitar 10.50 pagi waktu Malaysia.
Dalam misi kali ini, lapan wakil Malaysia menaiki kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September, diketuai oleh Prof Emeritus Mohd Alauddin Mohd Ali. Turut bersama ialah Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Selain itu, dua lagi pensyarah, Prof Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar, dan wartawan Astro AWANI Syafik Shukri Abdul Jalil turut berada di atas kapal berkenaan.
Sementara itu, Maziah Muhammad pula menaiki kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September, bersama tujuh kapal layar lain menuju ke Gaza.
Untuk makluman, Astro AWANI sebelum ini turut melaporkan bahawa Israel pernah memintas sekitar 40 kapal dalam konvoi bantuan terdahulu dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, selain menahan lebih 450 aktivis yang terlibat dalam misi tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami