MALAYSIA

Misi FFC x TMTG: Kru kapal Conscience buat persediaan hadapi risiko serangan tentera Israel

Sinar Harian 07/10/2025 | 08:00 MYT
Mohd Afandi memuat naik video terbaharu di TikToknya perkembangan pelayaran di Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG). -Foto Sinar Harian
SERDANG: Kru kapal Conscience yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) menjalani latihan kecemasan awal pagi Selasa sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan tentera Israel ketika menghampiri perairan Gaza.


Ringkasan AI
  • Kru kapal Conscience dalam misi FFC x TMTG menjalani latihan kecemasan awal pagi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan tentera Israel ketika menghampiri perairan Gaza.
  • Kapal kini memasuki hari kelapan pelayaran dan berada kira-kira 200 batu nautika dari Gaza, dengan suasana atas kapal dilaporkan tenang dan terkawal.
  • Aktivis Islam di atas kapal meneruskan rutin ibadah harian termasuk solat berjemaah dan tazkirah, sebagai kekuatan rohani menghadapi cabaran misi.


Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, latihan itu dijalankan sekitar jam 4 pagi waktu tempatan bagi memastikan semua peserta bersedia sekiranya berlaku serangan di tengah laut.

“Latihan pagi ini agak luar biasa kerana dijalankan ketika semua sedang tidur.

"Sebaik sahaja penggera dibunyikan, semua peserta segera bergegas ke dek utama memakai jaket keselamatan dan mengikuti arahan keselamatan yang ditetapkan,” katanya menerusi akaun TikTok peribadinya pada Selasa.

Beliau memaklumkan, kapal berkenaan kini memasuki hari kelapan pelayaran selepas berlepas pada 30 September lalu dan dianggarkan berada kira-kira 200 batu nautika dari pantai Gaza.

“Kapal kami telah memulakan semula pelayaran selepas berhenti hampir 36 jam di tengah Laut Mediterranean.

"Awal pagi tadi, kapal mula bergerak semula bersama yang kini berada di hadapan kami,” ujarnya.

Menurutnya, suasana di atas kapal setakat ini kekal tenang dan terkawal, dengan semua kru serta aktivis dalam keadaan sihat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kapal Conscience kini belayar dalam formasi bersama kapal lain menuju ke zon merah berhampiran sempadan laut Gaza, kawasan yang dikawal ketat oleh tentera laut Israel.

Dalam masa sama, Dr Mohd Afandi berkata, para aktivis Islam di atas kapal turut meneruskan rutin ibadah harian dengan menunaikan solat berjemaah dan solat jamak qasar sepanjang pelayaran.

“Setiap hari kami menunaikan solat subuh pada jam 6 pagi dengan imam yang bertugas secara bergilir. Pagi ini, imam dari Jordan memberikan tazkirah ringkas selepas solat,” jelasnya.

Beliau berkata, tazkirah itu menekankan kepentingan mendekatkan diri kepada ALLAH di saat-saat genting, memperbanyakkan zikir, istighfar dan bacaan al-Quran, serta menjauhi perbuatan maksiat yang boleh menutup keberkatan perjalanan misi. -Sinar Harian



#Conscience #misi FFC x TMTG #Thousand Madleens to Gaza #latihan kecemasan awal pagi