MALAYSIA
Misi flotilla terbesar dalam sejarah, tekad berdiri teguh walau risiko menanti - CGM

Kapal bantuan Madleen dipintas pasukan Israel pada 9 Jun di perairan antarabangsa sebelum sempat tiba di wilayah Palestin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Misi flotilla terbesar ke Gaza bakal digerakkan hujung bulan Ogos dengan penyertaan lebih 44 negara, termasuk Malaysia yang tampil sebagai antara peneraju utama.
Ringkasan AI
- Misi flotilla terbesar ke Gaza hujung Ogos akan disertai lebih 44 negara termasuk Malaysia bagi memecahkan kepungan Israel.
- Bantuan makanan, ubatan dan perlindungan akan dibawa, dengan pelancaran rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos.
- Penganjur sedar risiko halangan Israel, namun tekad meneruskan misi sebagai simbol solidariti global dan desakan politik hentikan kekejaman.
“Objektif utama kita adalah memecahkan kepungan di Gaza. Ia juga satu gelombang untuk menggesa pemimpin dunia yang selama ini membisu agar bangkit menyuarakan keadilan,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas Haikal, antara bantuan akan dibawa termasuk makanan, ubatan, susu serta barangan asas lain diperlukan penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kebuluran.
“Selain makanan dan ubatan, kita juga mahu memberi fokus kepada bantuan psikologi dan perlindungan kerana majoriti rakyat Gaza kini hidup di khemah sementara yang tidak selamat,” ujarnya.
Konvoi darat akan bermula pada 22 hingga 24 Ogos di Malaysia, diiringi pelbagai program termasuk himpunan selawat dan karnival solidariti di Dataran Merdeka.
Pelancaran rasmi misi flotilla akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 24 Ogos sebelum kapal pertama berangkat dari Sepanyol pada 31 Ogos, disusuli konvoi kedua dari Tunisia pada 4 September.
Haikal tidak menolak kemungkinan misi tersebut dipintas oleh tentera laut Israel, atau sekatan birokrasi di pelabuhan negara tertentu, serta ancaman keganasan sebagaimana tragedi Mavi Marmara pada tahun 2010.
“Kita sedar risiko yang menanti, tetapi kita tidak boleh sekadar berdoa. Kali ini, kita mesti bertindak dan membawa mesej jelas bahawa dunia tidak boleh terus membiarkan Palestin ditindas,” tegasnya.
Sekiranya misi digagalkan, peserta flotilla berkemungkinan ditahan atau dihantar pulang ke negara masing-masing, namun Haikal menegaskan misi kemanusiaan ini tidak akan sebegitu mudah dipatahkan.
“Andai kapal kita dihalang, kita akan teruskan dengan gelombang seterusnya. Tekanan politik ini mesti berterusan sehingga sempadan Gaza dibuka sepenuhnya untuk bantuan kemanusiaan,” jelasnya lagi.
Menurutnya, pemilihan laluan laut dibuat kerana ia memberi skala mobilisasi lebih besar berbanding udara atau darat, sekali gus menzahirkan solidariti global.
Selain itu misi ini juga bertujuan membongkar hipokrasi kuasa Barat dan rejim Zionis yang sering melaungkan keamanan tetapi menafikan hak asasi rakyat Palestin.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami