[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Misi Kemanusiaan: “Malaysia tidak akan berhenti di sini” - Tok Mat

Farhan Hakimi 08/10/2025 | 15:45 MYT
Kata Mohamad Hasan, Wisma Putra akan terus bersuara dalam apa jua peringkat bagi memastikan negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar.
KUALA LUMPUR: “Malaysia tidak akan berhenti di sini”, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Bukit Jalil pada Rabu.

Katanya, Wisma Putra akan terus bersuara dalam apa jua peringkat bagi memastikan negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan.

“Malaysia tidak akan berhenti di sini. Ini adalah suara Malaysia,” ujar Mohamad.

Beliau turut mengulas berkenaan usaha kerajaan Malaysia membawa pulang rakyat negara ini yang ditahan oleh Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.

“Walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, beliau tetap mengambil inisiatif menghubungi rakan sejawat termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi memohon bantuan membawa pulang rakyat Malaysia yang berjuang demi tanah air, Gaza dan Palestin,” katanya.

Jelas Mohamad, Wisma Putra, bagi pihak kerajaan, akan terus lantang bersuara di semua peringkat bagi memastikan penubuhan segera negara Palestin yang merdeka.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Wisma Putra telah berhubung dengan kerajaan Turkiye dan Amerika Syarikat dalam usaha membebaskan sembilan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TTMG).

“Kita doakan sembilan wira kita yang telah dipintas oleh tentera Zionis Israel dapat dibebaskan segera.

“Saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Wisma Putra telah menghubungi pihak Turkiye serta menghantar mesej kepada Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi mempercepatkan proses pembebasan mereka.

“Walaupun tidak dapat dipastikan tempohnya, kita berharap agar mereka dapat dikeluarkan secepat mungkin,” katanya.

Dalam gelombang kedua misi kemanusiaan ini, wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil, adalah antara delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Kapal Conscience yang dinaiki Syafik serta beberapa buah kapal lain telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa pada jam 10.05 pagi Rabu.

Turut ditahan, delegasi Malaysia Profesor Mohd Alauddin Mohd Ali, serta Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hassan.

Delegasi Malaysia lain adalah Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; pensyarah universiti, Profesor Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar


#Global Sumud Flotilla #Gaza #Wisma Putra #Israel