Miss Japan: Kemenangan warganegara naturalisasi pertama Jepun dipertikai
Agensi
Januari 27, 2024 20:00 MYT
Januari 27, 2024 20:00 MYT
SEORANG model berasal dari Ukraine telah dinobatkan sebagai Miss Japan, sekali gus mencetuskan kontroversi dan perdebatan mengenai apa yang disifatkan sebagai identiti Jepun.
Carolina Shiino, 26 tahun, berpindah ke Jepun pada usia lima tahun dan dibesarkan di Nagoya.
Dia merupakan warganegara Jepun naturalisasi pertama yang memenangi pertandingan itu.
Hampir 10 tahun lalu, Ariana Miyamoto menjadi wanita berdarah kacukan pertama yang dinobatkan sebagai Miss Japan pada 2015.
Kemenangan Miyamoto yang berdarah kacukan Jepun-Afrika menimbulkan persoalan sama ada individu berdarah campuran layak untuk memenangi pertandingan itu.
Namun hari ini, fakta bahawa Shiino langsung tidak mempunyai keturunan Jepun mengecewakan sesetengah pihak.
"Pemenang Miss Japan ini bukan berdarah kacukan Jepun tetapi 100 peratus tulen Ukraine. Ya dia cantik, tetapi ini 'Miss Japan'. Di mana Jepunnya?" kata seorang pemerhati di X.
"Jika dia berdarah kacukan [Jepun], tiada masalah. Tetapi dia langsung tidak ada keturunan Jepun, malah tidak dilahirkan di Jepun," kata satu komen lain.
Ramai juga yang meluahkan kebimbangan kemenangan Shiino akan menghantar mesej yang salah tentang Jepun.
"Semua orang Jepun akan fikir bahawa mereka yang berwajah Eropah adalah yang paling cantik."
Ai Wada, penganjur pertandingan Miss Japan Grand Prix memberitahu BBC bahawa juri telah memilih Shiino sebagai pemenang dengan "penuh keyakinan".
"Dia bercakap dan menulis dalam bahasa Jepun dengan fasih dan sopan. Dia lebih Jepun daripada kita semua," kata Wada.
Shiino berkata dia menghadapi kesukaran untuk diterima sebagai orang tempatan kerana penampilannya, dan berharap kemenangannya akan mengubah fikiran tentang siapa identiti Jepun.
"Kita hidup dalam era kepelbagaian. Terdapat ramai orang seperti saya yang bimbang tentang jurang antara penampilan mereka dan siapa diri mereka.
"Saya sentiasa diberitahu bahawa saya bukan orang Jepun, tetapi saya orang Jepun, jadi saya memasuki pertandingan Miss Japan kerana saya percaya itulah diri saya," katanya.