Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat tersebut ditemui petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang membaca meter elektrik di bangunan sarang burung bersebelahan kira-kira jam 12.35 tengah hari.
"Petugas terbabit terhidu bau busuk dari arah pondok kira-kira 200 meter dari jalan utama hari ketika sedang menjalankan tugasnya sebelum menemui mangsa tergantung pada alang.
Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati pondok terbabit dipercayai menjadi tempat tidur mangsa kerana terdapat tilam dan pakaian bersebelahannya.
"Mangsa dipercayai warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dan sudah meninggal dunia lebih 24 jam berikutan keadaan fizikal yang sudah bengkak dan berbau.
"Sanitasi dilakukan di lokasi kejadian dan pemeriksaan oleh pasukan Forensik PDRM tidak menemui sebarang kecederaan luaran," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Tambahnya, identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan dan proses bedah siasat.
Ahmad Adnan berkata, tiada unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel Asal disiarkan di Sinar Harian.
*Di Malaysia, mereka yang berhadapan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah mereka boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur dan Selangor pada talian 03-79568145 atau e-melkan kepada [email protected]